Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan negeri Johor diminta menyediakan laporan mengenai punca dua kes kematian ikan di perairan Johor Bahru, pada Ogos dan Jumaat lalu.

Siasatan awal mendapati, kejadian itu tiada kaitan dengan pencemaran atau disebabkan projek-projek pembangunan di sekitar bandar raya berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal memaklumkan, antara punca yang dikenal pasti adalah perubahan kandungan oksigen terlarut sehingga di bawah 1.2 partikel per sejuta (ppm) dan mengakibatkan kematian ikan-ikan tersebut.

"Kita akan minta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan untuk melihat (perkara itu). Mungkin ada prosedur yang mungkin perlu tambah baik. Mungkin kita akan lihat (laporan) Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)," ujar beliau.

Menurutnya, sehingga kini segala projek pembangunan di sekitar kawasan kejadian masih diteruskan sehingga laporan JAS dan Jabatan Perikanan diterima.

Penduduk Johor Bahru dikejutkan dengan lambakan bangkai ikan di Pantai Lido pada 28 Ogos lalu, sebelum kejadian sama berulang, semalam (Jumaat).

Datuk Dr Sahruddin ditemui selepas perasmian program Jalinan Ukhwah Johor Corporation di Bukit Kepong, Tangkak.

Beliau turut menyampaikan 3,000 buku ilmiah dibawah program Books For Asia kepada 100 buah sekolah sekitar Johor.

Turut serta dalam program berkenaan ialah ahli-ahli Kelab Media Johor.