Tiada istilah tanah adat untuk masyarakat Orang Asli atau kaum lain di Perak, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tegas beliau, kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tidak pernah mengiktiraf tanah adat bagi mana-mana kaum sekalipun.

"Setakat yang saya tahu, sebagai Menteri Besar dan rakyat Negeri Perak, kita tidak mempunyai tanah adat untuk Orang Asli. Itu jelas.

"Tetapi, kalau ada segolongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengatakan kita perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli, bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing minta kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula?

"Akhirnya, adakah kita perlu bahagikan tanah kerajaan Negeri Perak ini sama rata, hingga kita boleh membiarkan tanah tersebut, jika dimajukan satu hari nanti, tanpa mengikut perancangan betul?" soalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di sini hari ini.

Ahmad Faizal juga menafikan kononnya timbul konflik di antara kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

"Hubungan kami dengan semua rakyat, termasuk Orang Asli, di tahap yang amat baik. Cuma ada sedikit permasalahan di sesetengah kawasan.

"Kita ada masalah di Hulu Perak, di mana ada segolongan kecil kaum Orang Asli yang mengadakan 'blockade' menentang kerja-kerja pembalakan di kawasan itu.

"Ada masalah, satu atau dua, di kawasan tertentu, berkenaan penyediaan tapak atau lokasi untuk tanah perkuburan," tambahnya.

Baru-baru ini, NGO Centre For Orang Asli Concerns (COAC) memaklumkan tiga penduduk Orang Asli Suku Temiar di Kampung Sungai Papan, Gerik ditangkap ketika operasi merobohkan sekatan yang dibina penduduk di sana bagi menghalang pembalakan.

Masyarakat Orang Asli mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka, tetapi kerajaan negeri menegaskan, pihaknya berhak mengeluarkan permit pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Chepam, Gerik tersebut.