Golongan imam perlu memainkan peranan lebih agresif dalam menyekat penyebaran ajaran sesat yang boleh mengelirukan dan merosakkan akidah umat Islam atau masalah lain daripada terus menular di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata imam perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan terdapat kegiatan menyeleweng dan penyebaran ajaran sesat di kawasan mereka.

"Perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh merebak dengan cepat jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengekangnya," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Persidangan Imam Peringkat Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Masjid Negara, di sini pada Selasa.

Jamil Khir berkata imam juga perlu lebih agresif dalam memberi penerangan kepada masyarakat mengenai ajaran sesat dan menjalinkan hubungan rapat dengan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam, polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Hari ini kita dapat melihat, bagaimana Islam telah dicabar kesuciannya dengan pelbagai cara oleh pihak-pihak yang bernaung di bawah nama hak asasi manusia, liberalisme dan pluralisme dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata imam juga perlu memastikan agar institusi masjid tidak dicemari dengan aktiviti negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

"Masjid bukan tempat untuk menyebarkan fitnah dan mencerca antara satu sama lain kerana ini antara sifat-sifat orang munafik yang guna masjid untuk kepentingan diri tanpa mengira kepentingan orang lain," katanya.

Beliau berkata masjid seharusnya dijadikan medan untuk membimbing dan mencetuskan idea positif ke arah membentuk masyarakat yang progresif.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 22,000 masjid serta surau di seluruh negara dengan bilangan 14,254 imam, guru takmir (3,759), guru KAFA (32,764) dan penyelaras pentadbiran masjid daerah (PPMD)(171).

"Sekiranya digabungkan (jumlah imam, guru takmir, KAFA dan PPMD) ia mampu menjadi satu gelombang yang besar, satu kelompok masyarakat Islam dalam (mempromosi) perpaduan," katanya.

"Jika masyarakat Islam bersatu padu atas dasar agama, saya yakin kita tidak akan rapuh. Namun, jika kita berpijak atas dasar politik, sesama Islam pun kita akan bergaduh," katanya.

Persidangan selama tiga hari berakhir hari ini, menghimpunkan 150 imam dari seluruh negara.

Antara resolusi utama persidangan itu adalah penyelarasan jawatan gred imam besar negeri dan imam masjid daerah di seluruh negara, serta mewujudkan perjawatan tetap khususnya di masjid kariah yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan di kawasan bandar.

Resolusi lain ialah menaikkan kadar bayaran imbuhan imam masjid kariah daripada RM750 sebulan kepada kadar gaji minimum sebanyak RM900 sebulan dan mewujudkan pencalonan Tokoh Imam Kebangsaan seiring dengan Anugerah Masjid Malaysia.

Jamil Khir yang menyokong resolusi persidangan itu, berkata ia akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.