Pusat Laporan Kegiatan Melanun Biro Maritim Antarabangsa (IMB) yang berpangkalan di sini hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah kapal tangki membawa petrol yang dilaporkan hilang di kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Khamis.

Menurut ketua pusat itu, Noel Choong, kapal MT ORKIM HARMONY iaitu kapal tangki yang berdaftar di Malaysia membawa muatan petrol RON95 anggaran 6,000 tan metrik dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

"Pihak kami menerima laporan pada Jumaat setelah syarikat kapal tersebut membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bahawa mereka terputus hubungan dengan kapal tangki tersebut.

"Bagaimanapun buat masa ini, nasib kapal tangki serta kesemua krunya tidak dapat diketahui," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kapal-kapal supaya mengambil langkah-langkah tegas dan memantau kegiatan melanun terutama pada sebelah malam dan melaporkan sebarang serangan, kepada pusat itu di sini untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan serantau bagi mendapatkan bantuan segera.

"Talian operasi 24 jam kami adalah 03-2031 0014 atau faks 03-20785769," katanya.

Dalam laporan berasingan, Pengarah Operasi APMM Laksamana Pertama Maritim Ibrahim Mohamad berkata operasi pencarian diteruskan pagi ini meliputi kawasan seluas 20,000 kilometer persegi melibatkan Tanjung Penawar hingga ke Mersing seterusnya melangkaui sempadan perairan Malaysia dan negara jiran.

Seramai 22 kru berumur antara 20 hingga 64 tahun dalam kapal itu terdiri daripada 16 warganegara Malaysia, lima warganegara Indonesia dan seorang warganegara Myanmar.