Jabatan Imigresen Malaysia akan mengkaji kaedah bersesuaian yang boleh digunakan ke atas pelancong yang kerap menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ia bagi mengekang kegiatan pelacuran membabitkan pelancong asing.

"Mereka ini masuk melalui jalan darat, biasanya Changlun dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

"Dari segi kekerapan, mereka masuk dalam dua kali sebulan atau dua minggu sekali untuk membolehkan pasport mereka dicop. Kemudian mereka akan masuk semula untuk kegiatan yang tidak bermoral ini," kata Khairul Dzaimee.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan tiada pelancong tulen teraniaya, khususnya mereka yang kerap masuk ke negara ini untuk urusan perniagaan.

"Mungkin selepas ini, pelancong yang kerap masuk menggunakan pas lawatan sosial akan ditemuramah secara lebih mendalam di pintu masuk negara. 'Genuine traveller' juga perlu dikaji dengan lebih teliti," katanya.

Tambahnya, setakat ini cadangan berkenaan masih di peringkat perbincangan di jabatan dan memerlukan pertimbangan serta kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ia mahu dijadikan dasar baharu.

Pada Rabu, Khairul Dzaimee menyertai Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di beberapa lokasi di negeri itu – dua hotel di Jalan Rangoon dan di sebuah tapak pembinaan di Perai.

Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian daripada 137 pekerja asing di tapak pembinaan dekat Kampung Jawa Perai yang diperiksa oleh Jabatan Imigresen Negeri malam tadi.
 - BERNAMA
Dalam serbuan itu, seramai 19 wanita warga asing membabitkan 15 dari Thailand, tiga dari Myanmar dan seorang dari Laos ditahan di atas pelbagai kesalahan termasuk pelacuran.

Mereka juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial. Kes mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Turut ditahan, seramai 50 pendatang tanpa izin (PATI) daripada 137 individu yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Jawa, Perai atas pelbagai kesalahan.

Kes mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.