Tutup

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA
Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai kemasukan tiga juta warga China dan kemasukan tidak teratur warga asing ke Malaysia semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan pada Isnin berkata, semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami gangguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual.
Semua pelawat asing juga perlu mematuhi syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

"Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, sistem telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

Justeru, Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular.

Sistem rangkaian di KLIA yang mengalami gangguan sejak Rabu malam (21 Ogos) dilihat semakin pulih sejak Sabtu, selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

-- BERNAMA


Tag: Khairul Dzaimee Daud, Malaysia Airport Holdings Berhad, gangguan sistem KLIA, MAHB, warga China, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.