VIRUS Corona 2019 (COVID-19) mula dikesan di Wuhan, China pada bulan Disember 2019 dan sejak itu telah menular secara meluas ke negara-negara lain di seluruh dunia.
Ini menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan ia sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020.
Antara negara yang paling teruk mengalami wabak ini adalah China, Jepun, Korea Utara, Itali dan Iran.
Sehingga 13 Mac 2020, terdapat kira-kira 197 kes telah disahkan positif COVID-19 di Malaysia dan 128,507 kes di seluruh dunia.
Dengan peningkatan bilangan pesakit yang dijangkiti wabak saban hari, adalah penting untuk kita menyedari tentang impak psikologi atau kesihatan mental terhadap bencana ini.
Perlu diperjelaskan bahawa pandemik bukan sahaja satu fenomena perubatan tetapi turut menjejaskan ekonomi secara tidak langsung.
Sebagai contoh, sektor pelancongan, perniagaan serta produktiviti organisasi menunjukkan penurunan yang ketara kerana orang ramai tidak lagi pergi melancong, mengurangkan urusan jual beli di tempat awam serta tenaga kerja yang terpaksa menjalani kuarantin merupakan penyebab kepada masalah ini.
Ada yang ditawarkan cuti tanpa gaji serta ada juga yang hilang pekerjaan ekoran wabak ini.
Ini bermaksud, bukan sahaja gejala penyakit tetapi faktor ekonomi turut memberi kesan kepada masyarakat dan individu secara psikologi sehinga menimbulkan gangguan dalam kehidupan seharian.
Impak psikologi
Antara impak psikologi yang dikenal pasti termasuklah gejala kemurungan, gemuruh dan stres.
Kita ambil contoh yang paling mudah, disebabkan oleh kebimbangan terhadap ancaman wabak ini, ramai yang membuat pembelian panik (panic buying) serta mengumpul barangan seperti topeng muka dan pencuci tangan sehingga ia sukar didapati di pasaran.
Ramai yang berkongsi imej serta video rak pasar raya yang kosong serta perebutan dalam membeli barangan keperluan di media sosial.
Terlihat betapa kebimbangan tersebut telah mendorong pelbagai jenis tingkah laku yang tidak sepatutnya.
Selain dari itu, ada juga yang mula mengalami gejala gemuruh seperti berasa cemas, sukar tidur dan berasakan bahawa kesihatan mereka juga telah terjejas.
Perlu diingatkan bahawa mereka yang mempunyai masalah penyakit mental sedia ada mungkin lebih mudah terkesan berbanding individu biasa.
Selain daripada itu, mereka yang mempunyai risiko yang termasuk:
1) Individu yang disahkan positif COVID-19
Ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap penyakit, ketidaktentuan tentang penyembuhan, perasaan bersalah kerana mungkin menjadi punca penyakit ini tersebar kepada orang lain serta perlu berada di hospital untuk jangka masa yang lama.
2) Individu yang dikuarantin
Mereka terpaksa diasingkan daripada keluarga, tidak dapat ke tempat kerja serta kebimbangan tentang potensi mendapat penyakit.
3) Petugas kesihatan yang terlibat
Pendedahan kepada pesakit yang postif COVID-19 mendatangkan kebimbangan tentang risiko mendapat penyakit, masa bekerja yang panjang serta sibuk ketika bencana menyebabkan kepenatan serta tidak dapat mengambil cuti.
Pengalaman melihat mereka yang dijangkiti wabak serta pengendalian kes yang teruk mendedahkan kepada tekanan dan trauma.
Terdapat banyak kajian yang dibuat mengenai impak psikologi disebabkan oleh wabak atau bencana.
Mengikut satu kajian yang diterbitkan oleh International Journal of Research and Public Health baru-baru ini, terdapat 53.8 peratus responden melaporkan impak psikologi yang sederhana sehingga teruk.
Daripada jumlah ini, 16.5 peratus melaporkan gejala kemurungan, 28.8 peratus melaporkan gejala gemuruh (anxiety) dan 8.1 peratus melaporkan gejala stres.
Kajian atas talian ini melibatkan 1,210 responden dari 194 bandar di China mengenai impak psikologi akibat wabak COVID-19.
Kebanyakan responden mengatakan bahawa mereka tinggal di rumah selama 20 sehingga 24 jam setiap hari (84.7 peratus) serta risau tentang ahli keluarga lain mengalami wabak (75.2 peratus).
Hasil kajian juga mendapati bahawa wanita, pelajar serta gejala fizikal yang spesifik dikaitkan dengan impak psikologi yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, mereka yang mempunyai pengetahuan tepat tentang wabak serta tindakan berjaga-jaga yang harus diambil mempunyai impak psikologi yang lebih rendah.
Sebelum ini, terdapat juga beberapa kajian yang dijalankan terhadap petugas kesihatan.
Berdasarkan kepada satu kajian dijalankan di Korea yang diterbitkan dalam International Journal of healthcare (terbitan Jun 2018), hampir separuh petugas kesihatan iaitu jururawat yang terlibat secara langsung mengendalikan wabak Mers-CoV pada tahun 2015 mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau lebih dikenali sebagai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).
Kurangkan impak
Apakah yang dapat kita lakukan untuk mengurangkan impak psikologikal ini?
Tindakan proaktif menerusi pendidikan kesihatan, penyaluran maklumat yang tepat serta panduan menguruskan tekanan dan emosi dapat mencegah impak psikologi untuk jangka masa panjang.
Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan, antaranya adalah:
1) Kenal pasti punca kebimbangan serta panik. Penyaluran maklumat yang tepat dan berkesan dapat mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang menimbulkan ketakutan tidak berasas kepada masyarakat.
2) Elakkan stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti COVID-19. Ini akan menimbulkan diskriminasi serta menghalang orang ramai untuk datang mendapatkan saringan dan rawatan.
3) Lakukan juga saringan status kesihatan mental bagi mereka yang berisiko termasuk pesakit, ahli keluarga terdekat, individu yang menjalani kuarantin serta petugas kesihatan.
Tingkatkan kesedaran di kalangan kakitangan kesihatan tentang gejala awal bagi membolehkan mereka mengenal pasti pesakit atau individu yang memerlukan intervensi psikologi.
4) Penglibatan pasukan kesihatan mental di dalam komuniti seperti pasukan Psychological first Aid (PFA) dapat membantu mereka yang menjalani kuarantin kerana mereka tidak dapat keluar mendapatkan perkhidmatan saringan atau rawatan sekiranya diperlukan.
5) Berikan perhatian terhadap mereka yang mempunyai penyakit mental sedia ada kerana mereka lebih sensitif terhadap tekanan terutamanya yang mempunyai penyakit seperti gangguan gemuruh (anxiety disorder), gangguan kompulsif obsesif (OCD) serta kemurungan.
6) Penjagaan diri yang baik seperti menjaga makan, tidur secukupnya, melakukan senaman serta meneruskan rutin harian seperti biasa.
7) Pastikan untuk meneruskan komunikasi dengan keluarga dan rakan walaupun terpaksa dikuarantin. Ini boleh dilakukan secara atas talian atau media sosial.
Sokongan emosi serta mental adalah penting. Luahkan kebimbangan yang dirasai serta dapatkan kaunseling atas talian jika perlu dan terdapat perkhidmatan tersebut ditawarkan.
8) Kurangkan pendedahan terhadap media sepert televisyen dan surat khabar sekiranya ia mendatangkan kebimbangan yang ketara. Walaupun penting untuk mendapatkan maklumat terkini, cuba terhadkan masa menonton televisyen, membaca surat khabar atau mengikuti berita semasa di atas talian.
9) Amalkan teknik relaksasi (teknik pernafasan, relaksasi otot, meditasi) serta jalankan ibadah untuk mendapatkan ketenangan jiwa.
10) Peka terhadap perubahan diri serta individu yang memerlukan sokongan. Amalkan sikap saling bantu membantu dalam menghadapi tekanan.
Perubahan selera makan, gangguan tidur serta kurang tumpuan adalah antara gejala awal yang memerlukan perhatian.
Kesimpulannya, impak psikologi perlu diberikan perhatian dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini. Umum mengetahui bahawa perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian dari kehidupan terutamanya jika terdapat situasi yang mendatangkan bahaya serta tidak menentu.
Bagaimanapun, ia menjadi masalah jika berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian seseorang individu.
Sebaiknya, dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku. Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu.
Rujukan:
1) Immediate Psychological Responses and Associated Factors during the Initial Stage of the 2019 Coronavirus Disease (COVID-19) Epidemic among the General Population in China
Wang C , et al. International Journal of Environmental Research and Public Health 2020; 17(5)
2) Effects of Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus on post-traumatic stress disorder and burnout among registered nurses in South Korea
Younglee Kim, et al .International Journal of Healthcare.2018
* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
Dr Firdaus Abdul Gani
Sat Mar 14 2020
Pengalaman melihat mereka yang dijangkiti wabak serta pengendalian kes yang teruk mendedahkan kepada tekanan dan trauma. - Gambar REUTERS/Heo Ran
Penerbangan ke Tehran, Isfahan dan Shiraz digantung
Semua penerbangan menuju ke bandar "Tehran, Isfahan dan Shiraz, lapangan terbang Barat, Barat Laut dan Barat Daya di Iran telah digantung.
Perkembangan konflik Iran-Israel
Bagi perinciannya kita bersama Prof Dr Salawati Mat Basir, Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menteri luar ASEAN gesa henti segera keganasan di sempadan Myanmar
Menteri luar ASEAN menggesa semua pihak menghentikan segera keganasan dan melaksanakan sekatan sepenuhnya di kawasan sempadan Myanmar.
Kes demam denggi turun, satu lagi kematian dilaporkan
Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,698 kes pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME15) iaitu dari 7 April hingga 13 April lepas berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya.
Perkembangan konflik Iran-Israel
Bagi perinciannya kita bersama Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM).
Letusan Gunung Semeru: Penduduk dipindahkan akibat banjir lahar sejuk
Sekurang-kurangnya 32 keluarga di Lumajang, Jawa Timur dipindahkan secara sukarela ke kawasan lebih selamat susulan limpahan banjir lahar sejuk yang dicetuskan Gunung Semeru pada Khamis.
Bapa didakwa bunuh bayi enam bulan
Isteri tertuduh yang berada di galeri awam menangis sebaik pertuduhan terhadap suaminya, dibacakan.
Pelancong dari China, India meningkat 78.2 peratus berikutan pelan liberalisasi visa
Pelan liberalisasi visa telah merancakkan kemasukan pelancong ke dalam negara khususnya dari China dan India dengan peningkatan sebanyak 78.2 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
AWANI Ringkas: Delegasi ke Gaza jalani latihan antikeganasan
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Bursa Malaysia dibuka meningkat, pelabur tumpu saham dengan rizab tunai tinggi
Pada 9.22 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.86 mata kepada 1,549.62 daripada penutupan Khamis iaitu 1,544.76.
Perang dicetuskan blok Barat untuk terus kekal berkuasa - Penganalisis
Kemunculan kuasa-kuasa besar baharu seperti China yang mempunyai kekuatan ekonomi sangat tidak dijangka oleh Barat.
Harga minyak diunjur naik akibat konflik Iran-Israel
Harga minyak mentah Brent diunjur melonjak sehingga AS$95 setong berbanding sekitar AS$90 setong ketika ini berdasarkan jangkaan senario terburuk daripada konflik Iran-Israel.
Piala Uber: Tiada istilah mengalah buat Mei Xing
Pemain itu bagaimanapun mengakui sedikit terbeban dengan ketiadaan pasangan utama negara Pearly Tan-M Thinaah dalam kejohanan berkenaan.
MPOC jangka MSM didagangkan pada harga RM4,000-RM4,200 satu tan pada April
MPOC berkata, dinamik pasaran minyak sawit pada Mac dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
KDNK China meningkat 5.3 peratus pada suku pertama 2024
Ekonomi China berkembang lebih kukuh daripada jangkaan pada awal tahun ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti kilang yang teguh.
Ketibaan pelancong China ke Malaysia dijangka melebihi paras pra-COVID hujung tahun ini - CPAFFC
Yang berkata, kerjasama sudah terjalin buat sekian lama dan China melihat Malaysia sebagai sebuah negara dan rakan dagang yang penting.
China gesa elak konflik, anggap sudah selesai
China menggesa semua pihak mengelak konflik susulan tindakan serangan Iran ke atas Israel serta menganggap perkara itu sudah selesai.
Agong harap lebih banyak syarikat China melabur di Malaysia
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda itu membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.
'Tanah Besar China, Taiwan sedarah sedaging' - Presiden Xi
Tanah Besar China dan Taiwan sedarah sedaging dan hubungan antara kedua-dua pantai Selat Taiwan harus ditangani dengan menjaga kepentingan keseluruhan dan memacu pembangunan untuk jangka masa panjang.