Impian seorang gadis daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menjejakkan kaki ke menara gading akhirnya tercapai setelah pelbagai pihak tampil membantunya berikutan kisah kesusahan keluarganya tular dalam laman sosial.

Nor Izra Zulaikha Ismail, 20, yang mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Selasa berkata kisahnya yang ditularkan oleh seorang aktivis masyarakat melalui media sosial telah menarik perhatian pihak yang bukan sahaja membantu melunaskan yuran pengajiannya malah turut menanggung kos persiapan untuk memasuki universiti.

"Setelah ditularkan ramai yang membantu sehingga membolehkan saya mendaftar di universiti hari ini. Saya sangat bersyukur kerana masih ramai insan yang prihatin dan sudi membantu orang susah seperti saya ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Selasa.

Nor Izra Zulaikha yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 berkata, sebelum ini beliau buntu memikirkan yuran pendaftaran dan pengajian yang berjumlah lebih RM2,000, dan terfikir untuk menolak tawaran kemasukan universiti itu.

Anak kedua daripada enam beradik yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu berkata, ayahnya Ismail Samat, 47, hanya bekerja sebagai petani dan ibunya Rozita Ahmad, 42, mengambil upah menjahit, dengan pendapatan keseluruhan RM700 sebulan.

"Dengan pendapatan sebanyak itu ayah dan ibu memang tidak mampu menyediakan duit untuk saya masuk ke universiti. Apatah lagi adik yang lain masih kecil.

"Sebab itulah saya pernah terfikir untuk menolak tawaran ke UMT kerana tidak mahu menyusahkan ayah dan ibu," katanya yang melanjutkan pengajian bagi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim).

Sementara itu, seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang terpilih menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di UMT, Muhammad Syahmi Shaharnizam, 20, berkata beliau ingin membuktikan bahawa golongan sepertinya juga boleh berjaya.

Muhammad Syahmi yang mengalami otot kaki kiri lemah sejak kecil dan tidak boleh berjalan serta berdiri dalam tempoh yang lama itu juga ingin membuktikan bahawa beliau boleh berdikari dan tidak lagi mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

"Walaupun risau kerana ini kali pertama berjauhan daripada keluarga tetapi saya sahut cabaran untuk masuk ke universiti di Terengganu ini kerana saya sedar saya perlu berdikari. Sampai bila orang hendak tolong kita," katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, 2,327 pelajar ditawar melanjutkan pengajian di universiti itu bagi kemasukan semester September 2019/2020 pada Selasa.

Daripada jumlah itu, 359 pelajar berasal daripada keluarga B40, enam pelajar OKU dan empat pelajar Orang Asli.

-- BERNAMA