Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pakistan pukul 7.50 malam waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik Islam ini.

Ketibaan beliau di Pangkalan Tentera Udara Nur Khan, Rawalpindi disambut rakan sejawatnya, Imran Khan serta Menteri Perancangan dan Reformasi Pakistan, Makhdum Khusro Bakhtyar mewakili Kerajaan Pakistan.

Malaysia pula diwakili oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim.

Pada Jumaat, Perdana Menteri akan diberikan sambutan ketibaan rasmi oleh rakan sejawatnya di kediaman beliau.

Selepas itu, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat empat mata dan seterusnya mesyuarat delegasi dua hala Malaysia dan Pakistan.

Kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai usaha memperkukuh lagi hubungan dua hala dalam bidang politik dan keselamatan, bidang kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan, serta dalam bidang sosial selain soal tadbir urus seperti yang dipersetujui sewaktu lawatan Imran ke Malaysia pada 20 hingga 21 November tahun lepas.

Mesyuarat dua hala itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai prestasi semasa hubungan dua hala serta mengenal pasti ruang kerjasama lain yang boleh diterokai untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut berpeluang untuk berbincang dan bertukar pandangan berkenaan isu-isu serantau dan global demi kepentingan bersama.

Pada hari kedua juga, kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang Proton yang akan dibina di Wilayah Sindh dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan serta menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian persefahaman.

Pada sebelah petang pula, Dr Mahathir akan diraikan oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr.

Pada pertemuan itu, Dr Mahathir bakal dianugerahkan Nishan-e-Pakistan - pingat tertinggi awam oleh Kerajaan Pakistan diikuti majlis makan malam yang dihoskan Dr Arif.

BACA: Tun Mahathir bakal terima anugerah tertinggi Kerajaan Pakistan

Pada hari ketiga lawatan, Dr Mahathir dijadualkan menghadiri sambutan perbarisan Hari Pakistan 2019 di Shakar Parian, Parade Ground di sini.

Beliau dijemput oleh Perdana Menteri Imran sebagai tetamu kehormat untuk majlis itu yang disambut pada tanggal 23 Mac setiap tahun.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir sejak menjadi perdana menteri ketujuh sekaligus meraikan hubungan diplomatik 62 tahun Malaysia dan Pakistan.