Polis Terengganu berjaya membongkarkan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan inap desa atau homestay sebagai pusat memproses, membungkus dan mengedar dadah.

Ia susulan tertangkapnya lima lelaki yang dipercayai terbabit dengan aktiviti berkenaan pada Sabtu dan Isnin lalu di Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, kesemua suspek yang berusia 20 sehingga 39 tahun itu diberkas di tiga buah inap desa di lokasi berbeza pada sekitar jam 10 sehingga 12.30 malam.

Menurut Hanyan, dalam serbuan pertama di Kampung Baru Felda Neram, pihaknya telah menahan seorang penganggur berusia 39 tahun dan merampas tiga botol serbuk heroin yang dianggarkan bernilai RM4,500.

Manakala menerusi serbuan D8 sebuah inap desa di Kampung Binjai, pihaknya menahan dua penganggur berusia 29 dan 30 tahun serta merampas 1,200 biji pil kuda dan tiga paket syabu yang bernilai kira-kira RM25,000.

Sementara dalam serbuan ketiga di Kampung Kijal, polis menahan dua peniaga ikan yang juga pasangan adik beradik berumur 39 dan 20 tahun serta merampas satu paket syabu bernilai lebih RM6,000.

“Kita percaya daripada satu hirarki sindiket pengedaran, kita dalam proses untuk mencantas dan menumpaskan kumpulan ini.


Foto Astro AWANI

“Jadi ini adalah berdasarkan kepada risikan dan pengumpulan maklumat di port-port dadah. Daripada risikan dan maklumat ini telah mendedahkan wujudnya satu kumpulan pengedaran dadah aktif di Bukit Kuang.

“Tumpuan polis Kemaman sekarang ini adalah membersihkan atau memutuskan rangkaian pengedaran dadah di Bukit Kuang,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kesemua lima suspek terbabit telah menjalankan aktiviti berkenaan semenjak beberapa bulan lalu untuk dipasarkan di sekitar Kemaman.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 39B dan 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Foto Astro AWANI

Semakan lanjut mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methampthamine.

Jelas Hanyan, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi serta dua buah motosikal dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah dianggarkan bernilai hampir RM90,000.

Hanyan turut menasihatkan kepada pemilik inap desa di sekitar daerah Kemaman agar dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki terdapat aktiviti yang mencurigakan di premis milik mereka.