Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada 189 negara dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2018 Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) .

Walaupun ranking Malaysia jatuh empat anak tangga berbanding kedudukan 57 pada 2017, skor yang diraih pada 2018 mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 0.804, berbanding 0.802 pada 2017.

Ia sekali gus meletakkan Malaysia dalam kategori Pembangunan Manusia Sangat Tinggi.

"Antara 1990 dan 2018, Malaysia mencatatkan kemajuan kukuh dalam indeks pembangunan manusia daripada 0.644 kepada 0.804, peningkatan 24.9 peratus mencerminkan purata peningkatan tahunan 0.80 peratus," kata UNDP.

Dapatan itu terkandung dalam Laporan Pembangunan Manusia (HDR) 2019 bertajuk 'Beyond Income, Beyond Averages, Beyond Today: Inequalities in Human Development in the 21st Century' yang dikeluarkan hari ini, di Bogota, Colombia.

Menurut laporan berkenaan, peningkatan purata jangka hayat iaitu pada 76.0 (75.8 pada 2017) dan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita pada USD 27,227 berbanding USD26,55 pada 2017 menyumbang kepada peningkatan skor HDI Malaysia.

Dari 1990 hingga ke 2018, Malaysia menunjukkan kemajuan yang mantap dalam indeks pembangunan manusia iaitu dari 0.644 ke 0.804, kenaikan 24.9 peratus yang mencerminkan kenaikan purata tahunan sebanyak 0.80 peratus.

Selain Malaysia, hanya dua negara ASEAN lain iaitu Singapura dan Brunei yang tergolong dalam kategori Pembangunan Manusia Sangat Tinggi.

Wakil Residen UNDP di Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee berkata untuk terus meningkatkan prestasi dalam HDI, negara ini perlu menyusun dasar dan melaksanakan jalinan ke ara masa depan yang lebih inklusif.

Lima negara teratas dalam ranking HDI global ialah Norway (0.954), Switzerland (0.946), Ireland (0.942), Jerman (0.939) dan Hong Kong (0.939).

Laporan itu mempertimbangkan tiga aspek dalam pembangunan manusia iaitu kehidupan yang sihat dan panjang, kualiti pendidikan dan taraf hidup yang baik.