Individu berumur antara 20 hingga 29 tahun dikesan paling ramai dijangkiti kes COVID-19 membabitkan kluster terbesar negara iaitu kluster Sri Petaling yang diisytiharkan tamat, hari ini.

Berdasarkan pecahan kes mengikut julat umur, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 779 kes atau 23.1 peratus daripada keseluruhan kes dikesan membabitkan kategori umur tersebut.

Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan membabitkan kes dalam julat umur 20 hingga 29 tahun.

“Dukacita dimaklumkan bahawa 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster ini (iaitu 28.1 peratus daripada kes kematian COVID-19 di Malaysia).

“Kes kematian ini terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara. Jumlah tersebut melibatkan 30 orang lelaki dan empat orang perempuan,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

BACA: COVID-19: Berita gembira, kluster Sri Petaling diisytihar tamat

Bilangan kes kedua tertinggi membabitkan kluster tersebut pula dikesan membabitkan julat antara kosong hingga 19 tahun, iaitu sebanyak 759 kes atau 22.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut kadar kematian, individu yang berumur dalam julat 60 hingga 69 tahun merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu sebanyak 12 kes atau 35.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Seramai 3,375 individu yang menyertai perhimpunan berkenaan termasuk ahli keluarga mereka telah dijangkiti COVID-19.