Kerajaan Indonesia pada Selasa, memohon maaf atas masalah jerebu yang berpunca daripada negara itu.

Permohonan maaf berkenaan disampaikan ahli parlimennya, Hamdhani Mukhdar Said bagi pihak Kerajaan Indonesia atas kesulitan yang melanda negara-negara jiran, termasuk Malaysia dan Singapura.

Hamdhani yang bertanggungjawab ke atas Hubungan Antarabangsa dan Alam Sekitar, berkata kebakaran yang berlaku khususnya di Sumatera dan Kalimantan adalah berikutan musim kemarau serta tidak disengajakan.

"Kebakaran ini tidak disengajakan tetapi memang terjadi berikutan musim kemarau tinggi di Kalimantan dan daerah-daerah lain di Indonesia.

"Tetapi ini perkara yang terjadi di negara kami, setiap musim panas berlaku kebakaran hutan. Jadi kami mohon maaf kepada pemerintah Malaysia dan Singapura kerana mengakibatkan asap jerebu," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA), di ibu negara.

Tambahnya, Kerajaan Pusat Indonesia sedang mengambil segala langkah perlu bagi mengawal kebakaran hutan dan tanah gambut di negara berkenaan.

Pada Ahad lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo telah membuat lawatan mengejut ke Sumatera Selatan untuk melihat dengan lebih dekat kawasan kebakaran hutan yang telah mengakibatkan jerebu teruk hingga menjejaskan kualiti udara negara-negara jiran.

Di Malaysia, keadaan jerebu mencatatkan beberapa gangguan kepada keselesaan kehidupan harian rakyatnya. Antara yang kini mendapat perhatian adalah mengenai indeks pencemaran udara yang sudah mencatat paras tidak sihat di beberapa kawasan selain menjejaskan kesihatan dan tumpuan calon-calon pelajar yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).