Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai negara sahabat paling akrab dan sering mahu bersama dalam membela nasib umat Islam di seluruh dunia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata atas perasaan sahabat itulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut nama presiden Indonesia Joko Widodo semasa berucap pada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Kuala Lumpur pada 4 Dis lepas.

Katanya nama Jokowi disebut secara spontan oleh perdana menteri disebabkan beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan presiden itu dan mahu mengajak pemimpin republik itu bersama-sama membela nasib etnik Rohingya.

Zahrian berkata demikian di sini hari ini sebagai mengulas laporan beberapa media Indonesia yang mendakwa Najib dalam ucapannya itu telah menyindir presiden Indonesia kerana seolah-olah tidak prihatin dengan isu etnik Rohingya di Myanmar.

Najib dipetik sebagai berkata telah meminta presiden Jokowi dan rakyat Indonesia supaya menganjurkan perhimpunan untuk menunjukkan simpati terhadap nasib etnik Rohingya dan tidak hanya menganjurkan perhimpunan bagi memprotes Ahok.

Ratusan ribu umat Islam di Indonesia berhimpun sebanyak dua kali di Jakarta pada awal November dan Disember bagi membantah penyandang Gabenor Jakarta, Ahok atau nama sebenarnya Basuki Thahaja Purnama kerana didakwa telah menghina Islam.

Zahrain berkata Najib tidak bermaksud untuk mencampuri urusan kes Ahok, sebaliknya perdana menteri hanya mahu mengajak Jokowi bersama-samanya untuk membela nasib umat Islam di Myanmar yang didakwa sedang dizalimi oleh pemerintah negara itu.

Katanya Najib berkata demikian kerana Malaysia mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Indonesia dan mahu membangkitkan semangat komuniti ASEAN untuk bersatu bagi menentang sebarang penindasan rakyat di negara anggota.

"Isu Rohingya adalah isu yang benar-benar berlaku dan tindakan berani Malaysia untuk membangkitkan isu itu kini mendapat perhatian semua pihak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahrain juga berkata laporan mengenai wawancara pemimpin gerakan Bersih, Maria Chin Abdullah yang disiarkan oleh majalah Tempo baru-baru ini seharusnya turut memuatkan penjelasan pihak berkuasa Malaysia supaya rakyat Indonesia mendapat maklumat yang tepat dan lengkap.

Katanya dalam wawancara itu, Maria membuat pelbagai dakwaan termasuk ditahan di dalam sebuah sel yang berasingan, tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar, tiada kipas dan tiada tilam.

Zahrain berkata adalah menjadi hak dan prerogatif pihak keselamatan untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki atau didapati melanggar undang-undang negara untuk siasatan dan kemudiannya didakwa ke mahkamah bagi membuktikan kesalahan yang dilakukan itu.

Katanya perhimpunan Bersih juga tersasar daripada matlamat sebenar iaitu untuk memastikan proses pilihan raya umum di Malaysia benar-benar bersih, sebaliknya ia dijadikan sebagai alat untuk pembangkang menjatuhkan kerajaan secara demonstrasi jalanan.

Beliau berkata para pemimpin parti pembangkang turut berucap dalam perhimpunan Bersih dan mereka membangkitkan isu 1MDB serta menggesa perdana menteri meletak jawatan. - Bernama