Indonesia bersetuju untuk menyerahkan sebuah kapal layar mewah yang dikaitkan dengan kes syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kepada Malaysia.

Kapal layar bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) bernama Equanimity itu telah disita pada Februari tahun ini di pulau peranginan Bali.

Kapal yang berdaftar di Cayman Islands itu dirampas atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman AS kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan salah urus 1MDB.

Agensi berita Reuters melaporkan, sebuah mahkamah Indonesia pada April memerintahkan kapal layar itu dipulangkan kepada pemiliknya kerana telah disita secara salah.

Polis Indonesia kembali merampas kapal layar itu pada Julai berikutan permohonan rasmi dari AS. Polis republik tersebut juga menyatakan kesediaan menyerahkan Equanimity itu kembali kepada Malaysia namun tidak menetapkan tarikhnya.

“Kapal layar itu akan diserahkan di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia.

“Kami perlu mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara,” ujar Timbalan Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Jenayah Khas, Daniel Silitonga.

Tambahnya, kapal itu kini berada berdekatan perairan Batam.