Kerajaan Sarawak bercadang untuk membangunkan jalan sempadan di sepanjang sempadan Kalimantan – Sarawak sebagai menyambut baik pengumuman kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu negara Jakarta ke Kalimantan Timur menjelang 2024.

Kerajaan Sarawak bakal mengambil pendekatan untuk memudahkan akses rakyat kedua-dua negara selain meningkatkan mutu keselamatan sempadan.

Menelan kos sejumlah RM24 bilion, jalan sempadan yang bakal menghubungkan beberapa bandar penting di Kalimantan mempunyai kepanjangan sejauh 1032km, manakala jalan penghubung (feeder road) akan berukuran 610km.

Mengikut perancangan, pembangunan jalan sempadan akan melibatkan daerah Biawak ke Serikin melalui Lubok Antu, Long Silat, Long Banga, Bario, Ba’kelalan, Long Semado, Long Sukang dan berakhir di pekan Lawas.

Jalan penghubung yang dicadangkan pembinaannya melibatkan laluan Serian – Jalan Sempadan 42 kilometer, Engkilili – Lubok Antu 29 kilometer, Song – Jalan Sempadan 53 kilometer, Baleh – Jalan Sempadan 133 kilometer, Belaga – Jalan Sempadan 198 kilometer dan Tinjar – Jalan Sempadan 155 kilometer.

Pelan cadangan pembangunan jalan sempadan di sepanjang Sarawak - Kalimantan.

Pembangunan jalan penghubung ke jalan sempadan adalah wajar dibangunkan memandangkan ia dilihat sebagai satu penyelesaian dalam menyediakan akses yang lebih mudah dan selesa kepada warga Bumi Kenyalang yang menetap jauh di pedalaman sebagai contoh penduduk Kampung Long Unai dan Long Busang di Seksyen Baleh.

Ketika ini, jarak pekan Kapit ke Kampung Long Unai adalah 271 kilometer dan satu-satunya jalan digunakan ketika ini memakan masa kira-kira 8-9 jam melalui jalan balak.

Menerusi tinjauan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing (ini merupakan antara bahagian sempadan memisahkan Sarawak dan Kalimantan) di Kem Tapak Megah, Baleh baru-baru ini, selain daripada jalan sempadan dan jalan penghubung, sebuah kompleks CIQS (Customs, Immigration Quarantine Security) di Panggung, Tapak Megah – Long Nawang juga dicadang dibangunkan di sana.

Pembangunan Kompleks CIQS

Pembangunan kompleks CIQS adalah satu keperluan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan paling dekat dengan sempadan dan tidak mempunyai sebarang pos kawalan tetap.

“CIQS ini penting kerana sekarang ini bilangan warga Indonesia memasuki Sarawak melalui jalan ini bertambah dan ia akan terus meningkat sekiranya pertukaran ini berlaku di masa akan datang,” kata Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.

“Apa yang lebih serius sekarang ialah banyak keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, gula yang merupakan produk disubsidi kerajaan dibawa keluar dengan mudah dan mereka sering mengatakan tubuh disini tapi makanan di Malaysia, jadi kita rugi dan barangan ini memang dikhususkan untuk rakyat Malaysia, jadi inilah sebabnya penubuhan ICQS ini sangat penting.”

Satu-satunya pos kawalan yang berada di sana adalah pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Merirai yang terletak kira-kira 170 kilometer dari sempadan Malaysia – Indonesia.

Long Nawang yang merupakan kawasan terdekat dengan pintu sempadan merupakan laluan masuk utama kawasan penempatan di Kecamatan Kayan Hulu Kabupaten Melinau ke bandar Kapit dan Sibu dan ia terletak kira-kira 23 kilometer dari sempadan Malaysia – Indonesia.

Di Long Nawang terdapat lima buah desa yang didiami hampir 5000 penduduk dan mereka banyak bergantung kepada barang-barang keperluan asas yang dibawa keluar dari Sarawak melalui jalan sempadan yang tidak dikawal ini.

Antara lain dengan penubuhan jalan sempadan ini mampu tingkatkan pendapatan ekonomi Sarawak dalam pelbagai sektor lain antaranya pelancongan dan pertanian.

“Dengan pengumuman ini, kedua-dua negara akan terima manfaat dalam sektor pelancongan dan dengan penubuhan jalan sempadan ini, ia bermakna akses kepada kawasan-kawasan Taman Negara yang sukar dituju sebelum ini dapat dilakukan," tambahnya.