SEGELINTIR pihak seolah-olah ‘menggelupur’ apabila kebanyakan projek berkaitan dengan kereta api ditangguh atau ditamatkan.

Malah, ada juga yang mencanang sudah tiada harapan atau ‘gelap masa depan’.

Ada pula yang sudah ‘keletihan’ seolah-olah ‘lemah syahwat’ kononnya mendapat perkabaran suram.

Ada yang bertanya ke manakah hala tuju seterusnya dan mulalah beralih arah.

Hakikatnya, dimanakah pendirian kita? Adakah sekadar bersandar kepada projek semata atau hanya mengambil kesempatan? Matlamat itu seolah-olah tidak konsisten.

Matlamat ICOE-Rel UTHM Jelas

Penubuhan ICOE-Rel UTHM mempunyai matlamat yang jelas.

Pertama, mempersiap siagakan graduan yang kompeten seiring dengan keperluan industri. Kesungguhan itu bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Sumber manusia ini di latih secarfa komprehensif agar dapat meneruskan kelangsungan industri rel. Hampir setahun bersama industri dapat memberi gambaran alam pekerjaan sebenar. Sama ada lama atau singkat, kita ingin pastikan graduan tidak ‘buta’.

Malah, tenaga pengajar juga akan sentiasa diberikan latihan yang komprehensif sejajar dengan perkembangan rel semasa.

Kedua, mempergiat dan memperkasa usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kebergantungan teknologi dan kepakaran luar adalah kegagalan utama akibat kurangnya aspek R&D. Ceteknya pengetahuan, kurangnya kepakaran boleh mengakibatkan ‘bala bencana’.

Kos terus meningkat berkali ganda. Kerugian pasti akan menjelma. Kita melihat ‘lompongnya’ industri rel adalah disebabkan lemahnya usaha R&D. sebab itu ICOE-Rel UTHM memperlihatkan peri pentingnya R&D dan industri seharusnya perlu berlapang dada bekerjasama dengan pihak universiti.

Matlamat ICOE-Rel UTHM sesekali tidak bersandarkan ‘project-based’ semata-mata. Kita lebih mementingkan kelangsungan industri. Kita bukan sekadar mahu membina, tetapi kita perlu ada rasa tanggungjawab mengekalkannya demi kelangsungan pada masa hadapan.

ICOE-Rel UTHM Giat Memperkukuh Rakan Strategik

Terbaharu, ICOE-Rel UTHM dan Prasarana Malaysia Berhad Memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh hubungan di antara universiti dan industri.

Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Prasarana Malaysia Berhad mampu meningkatkan jumlah kepakaran tempatan dalam industri rel

Menerusi perjanjian ini, ICOE-Rel UTHM mengambil langkah proaktif untuk terus meningkatkan kerjasama dari segi R&D, latihan kepada pelajar dan tenaga pengajar dan mewujudkan satelit kampus.

Bukan mudah untuk terus kekal di hadapan. ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Walaupun baru bertapak tidak sampai 2 tahun, namun pelbagai langkah strategik dan inisiatif telah dilakukan.

Penawaran Ijazah Sarjana Muda Teknologi Rel (satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkannya) menunjukkan komitmen dan kesungguhan ICOE-Rel UTHM untuk terus mengorak langkah untuk menghasilkan pakar tempatan bagi industri rel. Malah, penawaran pengajian lanjutan (Master di dalam Teknologi Rel) telah memberi ruang kepada mereka yang ingin menceburi bidang industri rel dan telah menampakkan keberhasilan.

Terus Ke Hadapan

Kini, ICOE-Rel UTHM merupakan peneraju utama bagi universiti tempatan lain di Malaysia dalam bidang teknologi rel. Bagi memperkukuh tanggungjawab dan peranan besar yang digalas, sejumlah peruntukan atau dana berterusan sentiasa diperlukan sama ada daripada pihak kerajaan atau industri.

Ini tidak lain adalah bagi tujuan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran di samping menjalankan R&D. Kewujudan lab-lab penyelidikan di ICOE-Rel UTHM adalah perlu dan merupakan langkah tepat untuk meningkatkan kepakaran tempatan.

Hakikatnya, kita memerlukan sokongan yang berterusan dari pihak kerajaan mahupun industri. Kecemerlangan ini akan terus diperkukuh untuk Malaysia mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju dengan menawarkan kapakaran tempatan di dalam industri rel.

*Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI