Ingin selamatkan dua cucu, akhirnya datuk turut lemas dibawa arus

Ingin selamatkan dua cucu, akhirnya datuk turut lemas dibawa arus
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat. - Foto Astro AWANI
PADANG TERAP: Kegembiraan seorang datuk berkelah bersama dua cucu perempuannya di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena dekat Padang Terap, Kedah berakhir duka apabila mereka ditemui mati lemas setelah dihanyutkan arus deras pada petang Khamis..

Kejadian kira-kira pukul 1 petang selepas pintu air Empangan Pedu dibuka mengakibatkan mangsa, Mohamad Ramli Ibrahim, 65 tahun, terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan dua cucunya, Norshariza Hafiza Samsudin, 14, dan Nor Shafia Hafiza, 16, serta rakan cucu dikenali sebagai Hanis yang lemas.

Bagaimanapun cubaan Mohamad Ramli untuk menyelamatkan dua cucunya itu gagal apabila ketiga-tiga mereka ditemui mati lemas setelah dihanyutkan air deras.

Hanis, bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Menurut saudara mangsa Mohd Khairi Mohd, 50, kejadian berlaku ketika mereka baru sahaja selesai makan di tebing sungai.

"Kemungkinan masa tu (pintu empangan) air baru dibuka sebab tu air deras, jadi mereka mandi di tepi sahaja, sebab tongkat Haji Ramli ada di tepi sambil dia perhatikan anak cucu dia," katanya.

Datuk mereka kemudian terjun untuk menyelamatkan mereka tetapi dia turut hanyut.

Dua beradik tersebut tinggal di Kuala Kedah dan mereka pulang bercuti bersama ibu dan adik bongsu di rumah datuk mereka sejak Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah memaklumkan, kejadian arus deras dipercayai berlaku akibat pintu empangan dibuka.

"Bomba Kuala Nerang terima pangilan pada jam 1.36 petang, dan sampai di lokasi kejadian pada jam 1.51 petang hasil maklumat orang awam," katanya.

Jelasnya, mangsa pertama berusia 14 tahun ditemui pada pukul 2.26 petang diikuti kakaknya berusia 16 tahun pada pukul 4.36 petang petang dan datuk mereka pada pukul 5.22 petang dalam jarak 100 meter dari tempat mereka lemas.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat.

Tag: datuk, cucu perempuan, Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena, Padang Terap, mati lemas, dihanyutkan arus, arus deras, Empangan Pedu, Mohamad Ramli Ibrahim, Norshariza Hafiza Samsudin, Nor Shafia Hafiza, Hanis, Mohd Khairi Mohd


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.