Tiada lagi kompaun, sebaliknya akan terus dihadap ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Itu tegas Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri berhubung mereka yang sengaja ingkar arahan kuarantin, termasuk individu yang sengaja memotong gelang tangan kuarantin untuk keluar.

Beliau berkata, tindakan tegas pihak berkuasa terhadap individu yang dikaitkan dengan permulaan kluster Sivagangga, jelas menunjukkan kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi lagi.

“Ada pihak yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, tapi keluar membuka restoran. Akibatnya, beberapa kampung di Kedah dan Perlis, terpaksa ditutup akibat kecuaian atau kegagalan individu ini patuhi peraturan atau SOP .

“Jadi saya dah katakan sesiapa yang masih dalam kuarantin, pakai gelang kuarantin atau wrist band ini. Kalau sengaja keluar, tindakan tegas diambil dan mereka tidak lagi akan diberi kompaun, tetapi akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam sidang media harian PKPP di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Awal hari ini media melaporkan Pemilik restoran Nasi Kandar Salleh yang beroperasi di pekan Napoh, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 hari ini.

Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 tahun, didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib pada 14 Julai lalu.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Hospital Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, polis telah menahan 184 individu atas kesalahan ingkar PKPP, dan daripada jumlah itu, 49 telah direman, manakala baki 135 lagi dikenakan kompaun.

Beliau berkata, antara kesalahan ingkar PKPP termasuklah aktiviti dalam pub dan kelab malam, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal, gagal memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak, serta gagal melunaskan kos kuarantin.

Jumlah penahanan tersebut, ita Ismail Sabri, jelas menunjukkan bahawa masih ramai rakyat yang tidak mahu mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Ia juga menunjukkan pihak polis tidak berkompromi dengan mereka yang ingkar, dan gagal mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya lagi.