Exco Perak, Razman Zakaria memberi keterangan polis hari ini berhubung gambarnya tular di media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, petang Jumaat.

Beliau memberi keterangan itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Bagan Serai.

"Saya hadir ke IPD Bagan Serai untuk beri keterangan isu yang sedang tular," katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dalam Facebook beliau telah memohon maaf kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BACA: Ingkar PKP: Exco Perak mohon maaf pada rakyat Malaysia

Ia ekoran tular beberapa gambar beliau dan timbalan menteri berkenaan sedang makan di maahad tahfiz tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil itu berkata, apa yang telah berlaku merupakan kekhilafannya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pencerahan yang dibuat bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.