Seorang lelaki sanggup terjun ke dalam laut bagi mengelak dirinya ditahan polis ketika dia sedang melepak bersama 13 lagi individu di sebuah pondok berdekatan jeti pendaratan ikan di Jelutong, Pulau Pinang.

Dalam Op COVID-19 yang dilakukan anggota Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut petang Sabtu, lelaki berkenaan dikatakan sedang melepak bersama rakan-rakannya semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Bagaimanapun dia berjaya melarikan diri, namun 13 lagi individu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan melibatkan 13 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 70 tahun kerana gagal memberi penerangan yang munasabah melakukan pergerakan meninggalkan kediaman mereka dan berada di kawasan berkenaan.

Sementara itu, tiga lelaki termasuk seorang warganegara asing turut di tahan ketika sedang berbual di kawasan parkir rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, George Town pada jam 6.30 petang.

Ketika disoal siasat, mereka yang berusia 21 dan 25 tahun memberi alasan mahu mengambil komputer riba dari rakan di rumah berkenaan dan sedang menunggu rakan.

Bagaimanapun selepas menunggu hampir 10 minit, rakan yang didakwa tiga lelaki berkenaan tidak muncul.

Kesemua mereka disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah didalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Seorang lelaki turut ditahan dibawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Manakala lelaki warganegara Bangladesh turut ditahan dibawah Seksyen6(3) Akta Imigresen 1963/59.