Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Selasa kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 13 individu lain yang hadir bersama-sama mereka dalam jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong turut didenda jumlah yang sama.

Kesemua mereka mengaku bersalah apabila tuduhan terhadap mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika mereka gagal membayar denda dan kesemua mereka membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berkumpul di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong kira-kira jam 6 petang 17 April lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 didenda mengikut Peraturan 11(1).

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azhar Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amri Al Fikri Mohd Dasuki manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nor Zahari Ismail.


Sementara itu Noor Azmi dan Razman dalam reaksi mereka akur dengan sistem perundangan negara.

Selain melahirkan rasa kesal, mereka juga berjanji tidak akan mengulangi pelanggaran perintah yang dilaksanakan kerajaan itu.


"Saya akur dengan perundangan dan sistem kehakiman di negara ini, selepas ini saya akan lebih berhati-hati," kata Noor Azmi ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar kedua-dua pemimpin itu sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika PKP dilaksanakan.


Tindakan mereka mengundang kecaman orang ramai yang meminta pihak berkuasa supaya tidak 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan.