Dua wanita sanggup menunggang motosikal sejauh 60 kilometer dari Sungai Petani ke Kuala Kedah, atas alasan ingin bertemu rakan.

Bagaimanapun, helah mereka tidak diterima, selepas ditahan pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Mereka yang sepatutnya berada di dalam rumah dipercayai menunggang motosikal tanpa tujuan, sebelum ditahan dalam operasi yang dijalankan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sekitar jam 7 petang, di kawasan Kuala Kedah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua wanita berusia 21 dan 22 tahun itu keluar tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Dalam operasi sama, enam lelaki ditahan ketika sedang melepak di sebuah bangsal, seolah-olah tidak mengendahkan arahan PKP yang sedang dikuatkuasakan.

Mohd Rozi berkata, kesemua mereka yang ditahan gagal memberi sebarang alasan munasabah berkeliaran dan berkumpul di luar ketika PKP sedang dilaksanakan.

Katanya, kebanyakan mereka tahu mereka tidak sepatutnya keluar pada waktu begini kerana PKP dilaksanakan sebagai langkah untuk mengekang penularan dan memutuskan rangkaian COVID-19.

"Kita dapati ramai yang masih lagi bersantai, seolah olah tidak mengetahui bahawa bahayanya wabak ini. Dan kita telah menangkap seramai 18 orang, terdiri daripada 16 lelaki dan dua perempuan.

"Bila dibuat pertanyaan, awalnya tidak tahu, tidak ada apa, sebab saja suka-suka ambil angin, dan sebagainya.

"Inilah yang saya bagi tahu tadi, di kawasan bandar Alor Setar ini sendiri, memang kita dapati kesedaran itu amat tinggi.

"Namun, di pinggir bandar, sedikit masih lagi rendah," katanya kepada pihak media ketika ditemui selepas menyertai Op COVID-19 di sekitar Kuala Kedah malam tadi.

Jumlah keseluruhan tangkapan sehingga jam 12 malam tadi adalah seramai 21 orang - 18 daripadanya di Kuala Kedah, manakala tiga lagi di Langgar dan Kepala Batas.

Kesemua yang ditahan berusia antara 21 dan 60 tahun.

Mohd Rozi berkata, kesemua mereka ditahan di lokap IPD Kota Setar sebelum dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan tahap kesedaran orang ramai di kawasan Alor Setar kerana ramai yang tidak keluar pada waktu yang tidak dibenarkan, manakala premis pula tidak beroperasi selepas jam 8 malam.

"Namun, kita mengharapkan lebih ramai masyarakat di daerah ini supaya duduk di rumah jika tidak mempunyai sebarang urusan ketika PKP ini, untuk mengelakkan jangkitan COVID-19," tambahnya.

Di Kedah, sebanyak 77 kes COVID-19 dilaporkan dan sehingga semalam, tiada bilangan kes baharu dicatatkan.