announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ingkar PKPB: 27 lagi mat rempit ditahan, 56 saman dikeluarkan

Ingkar PKPB: 27 lagi mat rempit ditahan, 56 saman dikeluarkan
Kesemua motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bagi tindakan lanjut serta siasatan. - Astro AWANI
BALING: Perbuatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul secara beramai-ramai di suatu lokasi, selain tindakan berani sekumpulan remaja menunjukkan aksi lagak bahaya menggunakan motosikal masing-masing, akhirnya membawa padah.

Ia selepas 27 remaja berusia 14 hingga 26 tahun ditahan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dalam satu Operasi Samseng Jalanan di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Syed Basri Syed Ali, menjelaskan sebanyak 56 saman telah dikeluarkan selain pihak polis turut menyita 37 buah motosikal.

Kesemua motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bagi tindakan lanjut serta siasatan yang akan dijalankan pihak polis.

Menurutnya, polis menyita kesemua kenderaan terbabit mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas beberapa kesalahan dikenal pasti seperti mengubah suai motosikal secara berlebihan atau "fancy" selain tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

Tambah beliau, saman yang dikeluarkan pihak polis merangkumi pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada insurans kenderaan, dan memandu di bawah had umur.

Antara kesalahan yang dikenal pasti mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 ialah mengubah suai motosikal secara berlebihan. Foto Astro AWANI

Syed Basri berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Tambahnya, kesemua mereka yang terlibat berdepan tindakan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurut beliau, operasi yang bermula sekitar jam 5 petang Rabu itu disertai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Inspektor Mohd Izad Mat Husin bersama 21 anggota polis IPD Baling.

Pihak polis turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau keadaan anak-anak mereka terutama golongan remaja agar tidak terjerumus dalam melakukan perkara yang menjadi kesalahan undang-undang.