Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 80 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 individu direman, empat individu telah dijamin manakala 56 yang lain dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub / kelab malam (37) dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (43).

"Ini kerana, kelab malam dan pusat hiburan masih dalam dalam senarai aktiviti dilarang ," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP.

Tegasnya, ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan.

"Task Force Operasi Pematuhan PKPP akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) PKPP yang ditetapkan.

"Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP," katanya.