Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan larangan merokok di premis makan bukanlah satu kempen ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau bermusim.

Langkah itu katanya tidak berhenti setakat kempen sahaja tetapi beliau juga mahu ia menjadi budaya selaras dengan hasrat menuju negara maju menjelang tahun 2020.

Beliau juga menghargai sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bersama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan kedai makan.

"Mereka gusar ia menjadi sekadar ‘hangat- hangat tahi ayam’. Adalah penting bagi kami Kementerian Kesihatan dan KPKT untuk pastikan ini bukan saja menjadi kempen tapi menjadi budaya kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Program Restoran Tanpa Asap Dan Tembakau di Presint 9 di Putrajaya bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida dalam pada itu berkata, kementeriannya akan memastikan pengkuatkuasaan larangan dipatuhi pelanggan-pelanggan dan pemilik restoran.

Sejak dilaksanakan larangan merokok di restoran dan tempat makan terbuka, Kementerian Kesihatan telah memeriksa 5,746 premis makanan dan sebanyak 2,500 notis amaran telah dikeluarkan.

Tambah Dr Dzulkefly hanya pegawai dengan pakaian seragam berlogo kementerian sahaja yang diberi kuasa untuk memberi notis amaran kepada mereka yang melanggar peraturan larangan merokok.

Bagi orang ramai yang mahu membuat aduan boleh menghubungi nombor talian hotline 03 88924530 dan talian telefon bimbit Kementerian Kesihatan 010-8608949.