Pihak sekolah disaran untuk meningkatkan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata kerjasama itu perlu memandangkan pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan tidak mempunyai fasiliti bagi melakukan saringan air kencing termasuk kepakaran dalam membuat penilaian tahap ketagihan seseorang pelajar.

Statistik Pelaksanaan Ujian Urin 2013-2016 Sek. Menengah - Sumber AADK

Katanya, proses yang dijalankan AADK di peringkat sekolah seperti mengadakan saringan dan mengenal pasti pelajar-pelajar positif dadah adalah fasa penting sebelum fasa pemulihan bermula.

"Apa yang kita minta adalah pihak sekolah mengadakan hubungan dan menjalin kerjasama dengan AADK kerana beberapa perkara yang perlu menjadi fokus dalam proses pemulihan. Semua pelajar yang terlibat perlu melalui satu proses saringan untuk melihat keparahan dalam penagihan.

"Pada umumnya, kalau pelajar sesebuah sekolah bukan penagih tegar, tetapi di peringkat permulaan. Bagaimanapun, kita (AADK) mempunyai instrumen yang dipanggil Indeks Keparahan Penagihan (ASI) yang mana digunakan untuk melihat tahap ketagihan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Bagaimanapun katanya, AADK berdepan beberapa kekangan dalam proses pemulihan pelajar sekolah termasuk pelajar yang tidak menetap bersama ibu bapa selain persekitaran negatif.

"Kalau para pelajar ini (positif dadah) tidak ada ibu bapa atau tidak tinggal bersama ibu bapa. Termasuk yang tinggal di asrama walaupun peraturan asrama itu dikenakan kepada semua yang tinggal di asrama.

"Tetapi kalau asrama itu tidak mempunyai kaunselor, maka ia satu lagi cabaran baharu kepada kita," katanya.

Pelaksanaan Ujian Urin 2017 - Sek Menengah - Sumber: AADK

Mengikut statistik AADK, sepanjang Januari hingga September 2017, sejumlah 1,731 pelajar sekolah menengah positif dadah menerusi pelaksanaan ujian saringan air kencing terhadap 36,664 pelajar seluruh negara.

Pelajar sekolah menengah di Kelantan merekodkan peratusan tertinggi iaitu 10 peratus bersamaan 279 pelajar positif daripada 2,766 orang yang diuji.

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan peratusan terendah pelajar sekolah menengah positif dadah iaitu 1 peratus bersamam 18 orang daripada 1,849 pelajar yang diuji.