Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ini tiga faktor utama sebelum memulakan 'perang' COVID-19 di Malaysia

Ini tiga faktor utama sebelum memulakan 'perang' COVID-19 di Malaysia
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perkara pertama adalah mengenali virus tersebut terutamanya selepas China mengeluarkan urutan genom yang dikesan di Wuhan. Foto: Facebook/KKMM
KUALA LUMPUR: ‘Perang’ COVID-19 di negara ini sudah bermula sejak Disember 2019 dengan tiga fokus utama diberi perhatian.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perkara pertama adalah mengenali virus tersebut terutamanya selepas China mengeluarkan urutan genom yang dikesan di Wuhan.

Ia disusuli dengan memperbaiki perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun sebelum ini sudah berpengalaman menangani pelbagai wabak.

“Dalam perancangan kami (KKM), kita gunakan ilmu yang kita ada iaitu ilmu kesihatan awam, kalau kita nak lawan musuh, kita perlu kenal musuh tersebut.
“Pertama menerusi urutan genom yang didedahkan oleh kerajaan China. Kedua, kita lihat pada kesihatan awam, kita ada pengalaman tetapi pengalaman tersebut memberi kita ruang dan peluang untuk perbaiki kesalahan dan tambah baik respon kita kepada virus baharu ini.

“Ketiga, kita lihat pada kekangan di KKM. Sejak Julai menerusi perkongsian saya di Twitter, saya menjelaskan KKM kekurangan kakitangan, peralatan dan hospital sesak,” ujarnya.

Justeru, jelasnya beberapa perancangan sudah dilakukan termasuk memindahkan beberapa jabatan yang tidak berkenaan dengan COVID-19 ke hospital daerah bagi melancarkan proses rawatan selain wabak tersebut.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menjelaskan kerjasama antara pihak swasta membantu KKM memerangi pandemik ini secara terperinci.

Ia terutamanya selepas KKM menyedari kekurangan kemudahan selepas kemudahan sedia ada terpaksa dibahagikan mengikut keperluan.


Beliau berkata demikian dalam program Temu Minda KKMM yang dihoskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada malam Rabu.


Tag: COVID-19, Kementerian Kesihatan, KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, China



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.