Anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disahkan mengalami kecederaan parah pada paru-paru kata doktor, M. Nantha Kumeran.

M. Nathan yang berusia 39 tahun merupakan doktor yang bertugas di wad kecemasan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) ketika memberikan rawatan kepada Muhammad Adib.

"Semasa saya temui pesakit (Adib) di zon merah, dia dalam keadaan sesak nafas dan tidak sedar diri serta oksigen dan tekanan darahnya pada masa itu sangat rendah," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner, Rofiah Mohammad pada sesi prosiding yang masuk hari ke-8 pada Khamis.

Beliau yang juga saksi ke-12 bagi prosiding itu turut berkongsi tahap kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib.

"Semasa pemeriksaan saya dengar bunyi retakan di bahagian dada belah kanan Adib yang terdapat kesan lebam hingga bahagian bahu", katanya.

Hasil pemeriksaan X-Ray telah mendapati empat tulang rusuk di kanan Adib patah sekali gus mengakibatkan kecederaan parah pada paru-parunya.

"Imbasan X-Ray jelas menunjukkan keadaan paru-paru Muhammad Adib tidak normal," jelas beliau yang turut membawa kepingan X-Ray milik Adib ketika prosiding.

Melihat keadaan Adib yang kritkal, pihak hospital telah menumpukan ke arah untuk menyelamatkan nyawanya dan telah menyegerakan rawatan yang turut dibantu beberapa pegawai perubatan lain.

Berdasarkan kecederaan itu, doktor berpendapat kecederaan itu wujud akibat terdapat impak kuat terhadap Adib. Beliau memberikan rawatan terhadap Muhammad Adib sebelum dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Prosiding yang bermula pada jam 10.30 pagi itu tamat sekitar jam 12.45 tengah hari sebelum disambung semula pada sesi petang.