Inkues Adib: Adib mungkin dalam keadaan separa sedar - Saksi pakar

Inkues Adib: Adib mungkin dalam keadaan separa sedar - Saksi pakar
Prof Dr Shahrom Abdul Wahid berkata, perkara itu ekoran perasaan terkejut akibat ditarik atau kesakitan yang amat selepas cedera pada bahagian dada kanan depan dan belakang serta kepatahan tujuh tulang rusuk pada kiri belakangnya. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan dalam keadaan separa sedar ketika diseret perusuh selepas menerima hentakan daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), berdasarkan teori bekas pakar forensik Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Saksi ke-29, Prof Dr Shahrom Abdul Wahid berkata, perkara itu ekoran perasaan terkejut akibat ditarik atau kesakitan yang amat selepas cedera pada bahagian dada kanan depan dan belakang serta kepatahan tujuh tulang rusuk pada kiri belakangnya.

Gambaran itu juga katanya membuatkan Muhammad Adib tidak menunjukkan sebarang tindakan seperti melawan atau mempertahankan diri.
“Kemungkinan besar pada waktu diseret, dia sudah mula rasa kesakitan yang amat sangat pada kepatahan tulang kanan depan belakang dan tulang rusuk kiri selain kecederaan paru-paru.

“Dia mungkin separa sedar. Satu elemen - pasal dia terkejut.. yang kedua, sebab sakit yang teramat akibat kecederaan.

“Dia sedar dirinya bergerak (ditarik) tapi untuk meronta-ronta melawan.. tidak ada. Tidak ada reaksi,” jelasnya pada sesi prosiding inkues kematian Muhammad Adib pada hari ke-27.

Dalam pada itu, pihaknya turut berpendapat, anggota bomba itu tidak menyangka kumpulan perusuh akan menyerang (pasukan bomba) yang hadir di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 untuk memadamkan kebakaran ketika berlakunya rusuhan pada waktu itu.

“Dia tak rasa dia diserang, tiba-tiba orang datang merentap kolar bajunya.

“Dalam keadaan rusuhan, dia memikirkan dia ahli bomba, dan kemungkinan dia diserang mungkin tidak ada, (kerana) belum ada lagi anggota bomba diserang,” ujarnya.

Sesi prosiding pada Selasa tamat sekitar jam 5.15 petang dan bersambung semula esok di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.

Tag: muhammad adib mohd kassim, emrs, pakar forensik, hukm, shahrom abdul wahid, kecederaan, anggota bomba, rusuhan, insiden kuil, prosiding, saksi


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.