Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi percaya anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim turun dengan sendirinya tanpa ditarik atau dipaksa.

"Berdasarkan soalan peguam si mati, pada pandangan saya Adib keluar sendiri daripada kenderaan EMRS," katanya kepada peguam mewakili kerajaan (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebaik sahaja ditanya mengenai kesan calar di pinggang Muhammad Adib.

Menurut saksi, kesan calar yang terdapat pada pinggang kiri mangsa berkemungkinan berpunca akibat geseran yang mengenai pada bahagian pengunci di daun pintu van EMRS.

Mengulas mengenai kesan pada tiga butang baju celoreng yang tertanggal, katanya kecederaan hanya berlaku jika kolar baju bersentuhan dengan kulit dan didapati tiada kesan sedemikian pada tubuh badan mangsa.

"Berdasarkan tercabutnya butang ini, mungkin akan ada koyakan berdasarkan impak ini.

"Kawasan yang mempunyai sentuhan baju, di mana adanya kolar akan mengakibatkan geseran pada leher dan tiada kesan dijumpai terhadap si mati," katanya ketika menjawab soalan oleh peguam, Syazlin Mansor.

BACA: Inkues Adib: Status di Facebook punca saya dikecam - Pakar forensik

Dalam pada itu pihaknya juga berkata, kepatahan melibatkan tulang rusuk pada bahagian belakang kiri mangsa yang berpunca dari hentaman objek keras seperti belakang parang adalah sangat mustahil dan tidak konsisten dengan corak kecederaan.

"Impak perlu kuat dengan menghayun jika dipukul belakang si mati.

"Jika objek itu ditarik juga mesti ada calar... si mati tiada calar di belakangnya,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Mahkamah Koroner pada Rabu turut menyaksikan rakaman lakonan semula kejadian oleh pihak polis berdasarkan laporan bedah siasat bagi melihat gambaran kejadian.

Setakat ini, saksi ke-24 ini telah memberi keterangan selama dua hari dan dijangka akan dipanggil semula pada Khamis untuk menyambung lagi keterangan.

Prosiding di hadapan Koroner, Rofiah Mohammad bersambung seperti biasa esok.