Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahanan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menyifatkan keterangan saksi ke-24, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi sebagai mengelirukan mahkamah pada sesi prosiding petang Khamis.

Kekeliruan itu merujuk pada gambar bahu jalan sebagai bahan bukti yang diletakkan pada fail paling berkemungkinan boleh menyebabkan kecederaan pada dada kanan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut hujahan Syazlin, tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana sehinggga kini pakar forensik itu sendiri masih belum yakin objek bahu jalan itu menjadi punca kecederaan patah tulang rusuk pada bahagian dada kanan depan dan belakang.

“Koleksi gambar ‘kebarangkalian paling mugkin berlaku menerusi corak kecederaan turut meletakkan gambar bahu jalan'.

"Kenapa letak kalau tidak dapat pastikan ia bukan punca sebenar? Kan ia mengelirukan mahkamah,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Hafizam turut ditunjukkan lakonan semula dijalankan pihak bomba berkaitan pergerakan seseeorang itu jika terjatuh mengenai pada bahagian bahu jalan.

Namun hasil lakonan semula tidak menunjukkan hasil corak kecederaan yang berpadanan malah Hafizam menganggap eksperimen itu boleh dicabar semula sesuatu yang membuang masa.

“Ada 1,001 kemungkinan bagaimana kejatuhan itu berlaku. Eksperimen itu boleh dicabar dan perbuatan itu membuang masa,” katanya.

Sesi prosiding bersambung esok di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.