Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi menolak kemungkinan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ditolak dari arah hadapan sebelum bahagian rusuk belakang kirinya menerima impak daun pintu Van EMRS sehinga patah tulang rusuk 1-7.

"Jika seseorang itu menolak mangsa pada waktu itu akan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang.

"Jika seseorang cuba menyerang atau mengasari dari hadapan kemungkinan untuk berlaku kesan fizikal mempertahankan diri adalah lebih besar," katanya.

Beliau mengulas kenyataan itu sebagai menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah yang bertanyakan berhubung momentum pergerakan berkenaan dalam kes ini.

Terdahulu, peguam mewakil Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan KPKT serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia JBPM, Syazlin Mansor turut bertanyakan kemungkinan terhadap situasi berkenaan.

Ahmad Hafizam bagaimanapun tidak menafikan jika Muhammad Adib dipijak perusuh selepas Allahyarham terjatuh pada malam kejadian apabila ditanyakan berhubung kesan tapak kasut pada anggota badan Muhammad Adib.

"Segala andaian boleh berlaku sebabnya kecederaan boleh jadi lebih teruk sewaktu usung mangsa, meletakkan mangsa dalam kenderaan (sebelum dibawa ke hospital)".

"Jika apa andaian semuanya possible berdasarkan corak kecederaan, kecederaan teruk itu disebabkan satu impak kanan yang menyebabkan kepatahan berganda pada tulang rusuk tiga dan empat," katanya di hadapan Mahkamah Koroner.

Beliau yang merupakan saksi ke-24 itu dipanggil semula pada sesi prosiding hari ke-19 untuk menyambung keterangannya di Mahkamah Koroner Shah Alam pada Khamis.

Setakat ini, beliau juga telah tampil ke mahkamah selama tiga hari bagi memberi keterangan.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Koroner Rofiah Mohammad jam 9.30 pagi.

BACA: Inkues Adib: Saya minta maaf, buat kenyataan terlalu emosi - Cik Miera

BACA: Inkues Adib: 'Ada duit belanja? Ini antara soalan terakhir arwah pada saya' - Bapa