Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif dan inovatif bagi memanfaatkan masyarakat di negara ini.

Matlamat ini disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Mohd Nasir Ibrahim dalam Amanat Tahunan yang berlandaskan slogan 'Inovasi Nilai 4.0, UMP di Lautan Biru' di Kompleks UMP Gambang baru-baru ini.

Menurut Daing Mohd Nasir, beberapa kerangka telah dibentangkan dan akan diterapkan dalam sistem pendidikan di UMP bagi mempersiapkan universiti untuk menghadapi Industri Revolusi 4.0.

'Inovasi 4.0, UMP di Lautan Biru' menjadi slogan menggerakkan UMP. - AWANI Rangers UMP
"UMP juga akan terus menjana kegemilangan menerusi Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang akan berfokus kepada lima lonjakan strategik iaitu Keunggulan Akademik, Kelestarian Kewangan, Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi, Kemampanan Sosioekonomi dan Persekitaran, dan Keunggulan Jenama," katanya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut memuji UMP setelah meraih lima bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) melalui program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan tahun 2017.

Untuk rekod, UMP juga cemerlang dengan lima bintang dalam Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA) 2017, Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) 2017 dan terbaharu, Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dengan 5 Bintang berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Bagi Tahun 2016.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Muhammad Amrun Aniq Mohamed Saidi berkata, amanat kali ini berkait rapat dengan mandat yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi iatu "Higher Education 4.0: Knowledge, Industry & Humanity".


*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UMP Shaza Akmalina dan Nazmi Nasir, dengan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat UMP.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AwaniRangers UMP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Pahang.