Tutup

Insiden belasah penyokong Myanmar, macam hidup di 'zaman batu' - Khalid

Insiden belasah penyokong Myanmar, macam hidup di 'zaman batu' - Khalid
Dalam kejadian itu, dua penyokong bola sepak Myanmar berusia 29 dan 34 tahun cedera di muka serta badan akibat ditumbuk dan ditendang beberapa lelaki. - Foto Facebook / Ihsan pembaca
SEREMBAN: Insiden dua penyokong bola sepak Myanmar cedera dipukul beberapa lelaki selepas berakhirnya perlawanan Malaysia menentang negara itu dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Isnin lepas, disifatkan sebagai insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perlakuan dalam insiden seperti itu diibaratkan seperti berada di 'zaman batu' dan mempersoalkan ke mana perginya semangat kesukanan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
"Kita dalam zaman yang perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, mana semangat kesukanan kita? Itu satu sukan sepatutnya kita enjoy bersorak dan berteriak menunjukkan kita menyokong pasukan negara kita.

"Usahlah dicemar dengan pergaduhan dan kata-kata kesat yang boleh menyebabkan pihak satu lagi tidak senang hati, tetapi kenapa bawa keluar pergaduhan dan bertumbuk, ini tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini ini.
BACA: Belasah penyokong Myanmar: 'Kenapa kita berkelakuan seperti binatang?'

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden itu yang dilihat mencemarkan perjalanan temasya sukan Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung ketika ini.


Ditanya mengenai sebarang tangkapan susulan kejadian itu, Khalid berkata perkara itu diserahkan kepada polis Selangor.

Dalam kejadian itu, dua penyokong bola sepak Myanmar berusia 29 dan 34 tahun cedera di muka serta badan akibat ditumbuk dan ditendang beberapa lelaki kira-kira 11.50 malam, di tempat letak kenderaan Bazarena, dekat Stadium Shah Alam, selepas berakhirnya perlawanan Malaysia menentang negara itu, Isnin lepas.

Kedua-dua mangsa merupakan kumpulan kecil yang terkeluar daripada kumpulan utama penyokong bola sepak Myanmar.

Pada perlawanan itu, Malaysia menundukkan Myanmar 3-1.

-- BERNAMA