Insiden rusuhan di Plaza Low Yat malam Ahad harus dijadikan pengajaran kepada ahli-ahli politik agar tidak menggunakan isu perkauman dan agama demi kepentingan mereka, kata Kumpulan Tokoh Melayu (G25).

Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Ariffin berkata ahli-ahli politik perlu berhenti bermain dengan sentimen yang melibatkan kaum dan agama supaya insiden sebegini tidak lagi terjadi.

Beliau juga menyelar Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Se-Malaysia (Pekida) atas tindakan NGO Islam itu terlibat dalam himpunan di hadapan Low Yat itu.

"Sedih bila insiden ini berlaku pada bulan Ramadan yang mulia. Penglibatan Pekida, sebuah NGO Islam telah memburukkan lagi keadaan.

"Ia hanya menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka dan kegagalan mereka untuk mendokong kesucian Ramadan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Farida turut menggesa polis supaya menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam mencetuskan ketegangan kaum di media sosial.

Katanya, pengguna media sosial dan blogger dari kedua-dua kaum, Melayu dan Cina harus dipersalahkan dan disiasat di bawah Akta Hasutan.

"Pihak polis harus menyiasat blogger-blogger ini atas kesalahan mereka di bawah Akta Hasutan dan mendakwa mereka di bawah Akta ini," ujarnya sambil menegaskan media sosial merupakan platform yang merbahaya jika disalahgunakan.

Sementara itu, Noor Farida berkata beliau berasa kesal kerana kejadian tersebut yang pada mulanya berpunca dari kes kecurian dan gangsterisme, telah bertukar menjadi isu perkauman.

Tambahnya, kedua-dua belah harus dipersalahkan dalam hal ini dan mereka perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam kejadian tengah malam Ahad itu, pergaduhan terjadi antara dua kumpulan, hanya beberapa jam selepas polis mengarahkan kumpulan besar di luar plaza itu bersurai.

Insiden yang berlaku termasuk tumbuk-menumbuk. Topi keledar dan barang lain turut dilempar terhadap satu sama lain.

Pada Isnin, polis telah mengesahkan bahawa jumlah angka tangkapan berhubung insiden tersebut telah meningkat kepada 19 orang setakat ini.

Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata jumlah itu tidak termasuk blogger yang dikenali sebagai Papa Gomo.