Peguam bagi suspek kedua kes curi telefon bimbit di Plaza Low Yat menafikan beberapa tuduhan yang dibuat Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap anak guamnya.

Peguam Azam Aziz berkata menerusi perbualannya bersama tertuduh Khairul Azmi Mazlan, 22, terdapat percanggahan kronologi di antara kejadian yang berlaku berbanding kenyataan yang dibuat KPN.

Beliau juga menafikan kesahihan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial.

"Pertamanya, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan dua orang telah pergi ke kedai itu dan mencuri. Fakta yang sebenarnya, seperti yang anak guam maklumkan kepada kami, hanya seorang sahaja yang naik ke (tingkat) atas (manakala) yang lain berada di bawah," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.


Azam berkata, Khairul Azmi turut menafikan dia telah menyebarkan khabar angin di media sosial dan memberi maklumat kepada penulis blog mengenai tangkapan rakannya, Shahrul Anuar Abdul Aziz yang kononnya ditahan kerana bergaduh dengan penjual telefon bimbit setelah didakwa ditipu dengan pembelian telefon bimbit klon.

Kata Azam, anak guamnya turut menafikan individu dirakam CCTV yang tersebar di media sosial itu ialah Shahrul Anuar berdasarkan perbezaan pakaian.

Khairul Azmi kini direman di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kerana dituduh mengikut Seksyen 147/427 kanun keseksaan kerana merusuh.

Pagi tadi, Shahrul Anuar telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Majistret membenarkan tertuduh di ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.