Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menasihatkan usahawan tempatan agar memahami dengan mendalam bidang perniagaan yang diceburi serta memperkasakan ilmu bagi memastikan mereka terus berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya mendapati kebanyakan usahawan memulakan perniagaan dengan hanya mengikut orang tanpa mempunyai pengetahuan jelas berkaitan cabaran yang bakal dihadapi.

“Kami sering nasihatkan kepada para usahawan supaya tidak terus ‘terjun’ untuk berniaga, dapatkan sedikit ilmu dahulu. Kami dapati kebanyakan usahawan, mereka kadang-kadang mengikut apa orang lain buat daripada apa yang dilihat secara kasar.

“Di INSKEN sendiri, para usahawan yang menyertai program ditawarkan akan diberi pencerahan berkaitan business model canvas dengan sembilan aspek perniagaan yang perlu difikirkan sebelum mereka memulakan perniagaan,” katanya.

Muhd Firdaus turut menegaskan, sekiranya usahawan menceburi bidang yang mempunyai risiko tinggi, maka tahap persediaan mereka juga perlulah seiring.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual program AWANI Pagi di sini pada Rabu.



Kajian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) turut melaporkan bahawa lebih 50 hingga 60 peratus usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sukar untuk bertahan dalam perniagaan sehingga terpaksa ‘gulung tikar’ dalam tempoh kurang lima tahun.

Keadaan turut diburukkan lagi apabila berlakunya krisis ekonomi yang terpaksa dihadapi akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Dapatan menerusi Survei Khas Kesan COVID-19 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 42.5 peratus responden menganggarkan mereka memerlukan tempoh lebih enam bulan bagi syarikat atau firma perniagaan masing-masing untuk kembali pulih sekiranya pandemik berjaya dibendung.

Melihat situasi tersebut, INSKEN komited dalam membantu usahawan tempatan bagi membangunkan bentuk model keusahawanan dalam kelaziman baharu agar mampu mendepani krisis kewangan yang melanda saat ini.

Muhd Firdaus berkata, para usahawan boleh memanfaatkan program yang dilaksanakan oleh INSKEN secara dalam talian termasuk menerusi sesi Facebook Live, program latihan serta bimbingan terus (one on one) secara maya.

“Selain itu, kami turut melaksanakan program E-Board yang dipecahkan kepada dua fasa iaitu bantuan nasihat dalam memadankan perniagaan usahawan terlibat dengan platform digital bersesuaian. Kaedah ini membantu peniaga mencapai sasaran pelanggan ditetapkan.

“Peringkat seterusnya, usahawan akan diberi jurulatih (coach) dalam membantu meningkatkan hasil jualan selain menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada sebelumnya. Itu adalah ukuran yang dilihat menerusi program ini,” ujarnya.

Jelas beliau, situasi ketika ini membuka laluan baharu perniagaan kepada para usahawan dengan memanfaatkan pengunaan semua platform digital termasuk aplikasi WhatsApp, YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.

INSKEN menyasarkan penyertaan seramai 1,000 usahawan melalui program ini sehingga tahun hadapan. Sejak diperkenalkan pada Julai, seramai 250 peniaga melibatkan diri dalam program E-Board sebagai kelompok pertama.

Inisiatif ini membekalkan usahawan dengan ilmu perniagaan optimum bagi meningkatkan perniagaan serta pendapatan mereka, ia sekali gus menjana ekonomi negara selain membantu mereka bertahan dalam tempoh semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan.

Program E-Board merupakan antara 19 program yang diperkenalkan menerusi inisiatif COVID Business Recovery ditawarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.