Seorang anggota polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan kes rogol dan cabul melibatkan dua wanita warga Mongolia di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Tertuduh, Hazrul Hizam, 30, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selain memohon kes dibicarakan.

Kesemua sembilan pertuduhan tersebut terdiri daripada enam kes rogol terhadap mangsa pertama berusia 20 tahun dan dua kes rogol terhadap mangsa kedua berusia 37 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 April antara jam 1.30 pagi hingga 4 pagi bertempat di bilik hotel bernombor 203 dan 302 di Luxe Boutique Hotel, di Petaling Jaya.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Manakala satu lagi pertuduhan yang dibuat secara berasingan melibatkan tertuduh iaitu dengan menggunakan kekerasan jenayah dalam satu cubaan cabul terhadap mangsa pertama.


Tertuduh turut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Cubaan Cabul) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dari hukuman tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon kepada mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Shah Rizal memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan kadar dengan nilai yang rendah ekoran keadaan semasa anak guamnya yang telah digantung kerja selain mendapat separuh gaji.

Hakim Norshila Kamaruddin kemudian bersetuju tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM24,000 bagi semua pertuduhan rogol dan RM3,000 bagi pertuduhan cubaan cabul.

Mahkamah menetapkan tarikh 2 Jun sebagai sebutan semula kes.

Semalam, tertuduh turut didakwa memperdagangkan kedua-dua wanita itu bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).