Institusi diraja merupakan identiti yang menjadi salah satu sistem dalam pentadbiran negara.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, ia perlu dikekalkan sekali gus menjadi lambang kepada kepentingan sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

"Kepentingan institusi ini, supaya sistem demokrasi diamalkan dan ada mekanisma semak dan imbang untuk sistem demokrasi.

"Walaupun kita tahu sistem demokrasi ini adalah sistem yang mengangkat suara rakyat dan mempunyai Parlimen, tetapi ada kalanya dalam konteks negara, kita perlukan institusi beraja terutama dalam konteks skop kebebasan asasi, dalam konteks perpaduan negara dan dalam konteks yang lain pula kita melihat institusi beraja juga menyumbang dalam bentuk kemakmuran ekonomi, maknanya dari segi keseimbangan antara peluang ekonomi dan peluang dari segi jurang antara kaum.

"Saya rumuskan, ia penting dari segi pentadbiran negara yang menjadi satu keseimbangan konsep demokrasi berparlimen dan ia penting untuk perpaduan negara yang berbeza atau yang terdapat kepelbagaian dalam pelbagai dimensi. Institusi beraja dalam sejarah dan amalannya patut menjadi sumber kekuatan untuk semua komuniti yang ada termasuk juga hal-hal berkaitan keselamatan dan kemakmuran ekonomi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

BACA: Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah gelaran rasmi Sultan Pahang

BACA: Rakyat Pahang terima Sultan baharu hari ini


Pada Selasa, Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang diadakan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Baginda akan memakai gelaran rasmi sebagai Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.