Kementerian Pendidikan mengalakkan majlis agama Islam di setiap negeri untuk menawarkan kepada institusi pengajian agama termasuk madrasah, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat, supaya berdaftar dengan kementerian agar pelbagai kemudahan dapat ditawarkan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu secara tidak langsung akan membolehkan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih sempurna.

"Daripada 400 institusi pengajian agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, hanya 215 sahaja yang telah berdaftar dengan kementerian dan seterusnya didaftarkan di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) secara automatik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Muar dan Program Pembina Negara Bangsa di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Muar.

Pada majlis itu, Mahdzir turut meluangkan masa berbuka puasa bersama kira-kira 1,200 pemimpin masyarakat dan warga pendidik dalam Parlimen Muar.

Mengulas lanjut katanya, institusi tersebut perlu berdaftar dengan kementerian untuk diserapkan ke program SBAK bagi memastikan kurikulum kebangsaan dapat dilaksanakan.

Di bawah kurikulum kebangsaan, pelajar akan mempunyai dua laluan iaitu akademik dan agama.

Ini seterusnya akan dapat membantu mereka sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan kelak.

Katanya, sekiranya institusi-institusi pengajian ini didaftarkan dan menjadi SABK, ianya membolehkan pelajar mereka mempunyai kelayakan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan pada masa sama tidak mengenepikan pengajian keagamaan.

Ia katanya, seiring dengan keperluan masa kini yang memerlukan sekurang-kurangnya SPM untuk membolehkan mereka mengisi kekosongan dalam pelbagai jawatan di sektor awam mahu pun sektor swasta.

"Pelajar-pelajar ini perlu ada sekurang-kurangnya SPM kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang mereka perlukannya untuk bekerja," tambah Mahdzir.