INSIDEN taufan dan banjir kini bukan lagi fenomena luar biasa di negara kita. Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita kejadian banjir dan bencana yang berkaitan, termasuklah tanah runtuh dan kerosakan harta benda.

Oleh yang demikian, pengguna sewajarnya mengambil langkah perlu untuk melindungi pelaburan harta benda daripada ditimpa malapetaka, khususnya akibat banjir.

Namun, kadar pengambilan insurans bagi melindungi harta benda peribadi seperti kenderaan dan kediaman di Malaysia dilaporkan masih rendah.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kadar pengambilan perlindungan banjir bagi insurans kenderaan hanya dua hingga empat peratus.

Pengguna, dalam memastikan pelaburan mereka terjamin, diberi pilihan sama ada mahu melindungi harta benda itu di bawah skim insurans konvensional atau takaful.

Astro AWANI mendapatkan maklum balas daripada beberapa syarikat insurans berhubung perlindungan yang ditawarkan bagi tujuan tersebut.

Berikut maklumat mengenai kepentingan membeli insurans atau takaful perlindungan banjir untuk melindungi harta benda anda ketika bencana.


Jangkaan kerugian akibat banjir setiap tahun
AS$1.27 bilion atau RM5.33 bilion (jumlah ini dikira berdasarkan model matematik yang mengabungkan senario masa depan)

Kerugian ekonomi akibat bencana
62.5% banjir
12.5% ribut
8.5% tanah runtuh

Sumber: http://www.preventionweb.net/countries/mys/data/


Insurans / Takaful pemilik rumah
Memberi perlindungan kepada pemilik rumah, meliputi kerosakan kepada struktur bangunan rumah termasuk kerosakan akibat banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM500 setahun untuk rumah bernilai RM200,000


Insurans / Takaful penduduk
Melindungi barangan di dalam kediaman daripada kerosakan, termasuk akibat banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM300 setahun untuk perlindungan RM50,000


Insurans premis perniagaan
Ia dikategorikan sebagai insurans kebakaran. Premium tambahan perlu dibayar untuk mendapatkan perlindungan berkaitan banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM1,000 setahun untuk perlindungan RM200,000


Insurans Kenderaan
Kebanyakan insurans kenderaan tidak melindungi kereta anda daripada banjir secara automatik. Anda perlu membayar premium tambahan (loading) untuk memastikan kenderaan anda dilindungi jika berlaku kerosakan akibat banjir.
*Anggaran tambahan premium: RM100-RM280 setahun


*Sumber dalaman industri