Pakar undang-undang mengalu-alukan syor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menjadikan perbuatan mengintip dan menghendap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Profesor Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Awal melihat, perbuatan yang sering kali berlaku terhadap wanita itu akan mengganggu emosi, sekaligus menjejaskan prestasi rutin mereka.

Dalam hal ini, kata beliau, perbuatan mengintip, mengekori dan menghendap sudah lama diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah di beberapa negara lain.

“Perbuatan mengintip ini boleh menyebabkan emosi seseorang itu terganggu dan ia sering terjadi terhadap wanita contohnya dalam kes rumah tangga ataupun serangan seksual.

“Jika perbuatan ini dapat dibuktikan sebagai bentuk jenayah, mereka yang melakukannya boleh dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang.

“Dengan tindakan yang diambil, wanita terutamanya akan merasa lebih selamat kerana mereka dapat melaporkan perkara itu kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas gesaan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) kepada para penggubal undang-undang negara supara segera meluluskan undang-undang yang berkaitkan dengan intip dan hendap bagi menjadikan perbuatan itu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan selain memperkenalkan perintah sekatan terhadap pelaku di bawah kanun acara jenayah.

“Kita perlu faham pengintip ini selalunya tidak disenangi dan bagi orang yang diekori, berdasarkan penyelidikan saya, ia selalunya berlaku dalam kerangka ganggual seksual ataupun dalam keganasan rumah tangga.

“Seseorang yang diintip akan merasakan ke mana sahaja mereka pergi, akan ada yang mengikuti dan itu yang menyebabkan gangguan emosi sehingga mereka berasa takut dan merasakan keselamatan mereka terjejas,” jelasnya, menjawab soalan segelintir pihak yang mempersoalkan bahawa perbuatan menghendap atau mengintip ini seringkali sukar untuk dibuktikan kesahihannya kepada pihak berkuasa


Beliau merasakan, tiada masalah untuk menerima gesaan WAO malah berharap pihak berkuasa memandang serius perkara ini.

Prof Noor Aziah juga berharap, wanita yang mengalami gangguan diintip dan dihendap dapat melaporkan perkara ini kepada pihak polis sebagai satu bentuk tindakan jenayah.