Tutup

IPCMC bukan untuk kenakan mana-mana pihak - Guan Eng

IPCMC bukan untuk kenakan mana-mana pihak - Guan Eng
Guan Eng menyampaikan ucapan dasar sempena Pembukaan Persidangan DAP 2019 di Pusat Konvensyen IDCC pada Ahad. - BERNAMA
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk 'mengenakan' mahupun menentang mana-mana pihak.

Sebaliknya kata beliau, cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan adalah semata-mata untuk memastikan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa oleh segelintir anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"(Dengan IPCMC) Bolehlah dipastikan kalau ada berlaku salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis, tindakan boleh diambil. Itu saja. Jika polis jalankan tugas mengikut kuasa sedia ada, tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya semasa berucap pada Persidangan DAP 2019, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memuji Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kerana baru-baru ini dilapor menyokong cadangan penubuhan IPCMC.
IPCMC adalah sebuah badan bebas yang bakal menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku polis.

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap pasukan keselamatan itu dan kerajaan tidak akan campur tangan bagi menangani sebarang aduan mengenai polis.

Susulan itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata PDRM akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Dalam ucapan sama, Lim turut memuji peranan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa parti Islam berkenaan bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata jasa Allahyarham Nik Abdul Aziz ketika itu tidak harus dilupakan kerana melindungi Pakatan Rakyat secara konsisten daripada puak-puak konservatif dalam parti diwakilinya selain golongan rasis serta ekstremis di luar parti Islam itu.

"Kita ingat sumbangan Tok Guru Nik Aziz... seorang yang bersederhana dalam pegangan politiknya".

Lim menyifatkan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu sebagai antara pemimpin daripada legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz. -- Bernama





Tag: Lim Guan Eng, Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu, Nik Aziz, Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS, DAP, Pakatan Rakyat, Parti Amanah Negara, PDRM, Islam, polis, IPCMC



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.