Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian hotel bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak, pada 2014.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, wujud kes 'prima facie' berhubung pemberian rasuah oleh ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel kepada Mohd Isa, melalui Muhammad Zahid Md Arip, antara 2014 hingga 2015.

Atas nasihat peguam beliau, Mohd Isa, 71 tahun, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

"Pihak pendakwaan telah berjaya menerangkan kewujudan bukti kredibiliti yang memenuhi setiap satu kandungan utama berhubung kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana digambarkan dalam sembilan pertuduhan itu, yang jika tidak disangkal atau dijelaskan, akan mewujudkan dakwaan.

"Oleh itu, kes prima facie telah diwujudkan ke atas tertuduh," katanya ketika menyampaikan alasan penghakiman itu.

Bagaimanapun, untuk satu lagi tuduhan pecah amanah (CBT), Mohd Nazlan berkata, pihak pendakwaan gagal untuk mewujudkan kes prima facie.

"Tidak boleh disangkal bahawa pembelian Merdeka Palace Hotel yang memerlukan pelupusan sejumlah wang oleh FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd) bernilai RM160 juta, perlu mempunyai kelulusan oleh Lembaga Pengarah FIC. Ia tidak diluluskan oleh tertuduh.

"Tertuduh tidak boleh meluluskan pembelian itu kerana undang-undang syarikat berkenaan, serta peraturan dalaman FIC menyatakan bahawa tanggungjawab kelulusan bukan ke atas tertuduh mahupun pengarah lain secara individu, tetapi ke atas Lembaga Pengarah itu sendiri," katanya lagi.

Mohd Nazlan berkata, saksi pendakwaan ke 16 yang juga pemilik dan penjual Merdeka Palace Hotel memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dimaklumkan oleh Mohd Isa, kelulusan pembelian itu bergantung kepada Lembaga Pengarah.

Memandangkan itu adalah keputusan Lembaga Pengarah FIC, Mohd Nazlan berkata, tuduhan bahawa Mohd Isa meluluskan pelupusan wang berkenaan untuk pembelian hotel itu tidak dapat disahkan.

"Atas faktor tunggal ini, tuduhan CBT yang dikenakan tidak boleh kekal," katanya lagi.

Beliau memutuskan tarikh perbicaraan pada 17, 18, dan 19 Ogos ini.

Mohd Isa diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz .




Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh FICSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.