Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan dalam barisan jemaah menteri baharu yang diumumkan hari ini, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, dengan pernah menjawat beberapa jawatan Menteri.

Naib Presiden UMNO itu berada dalam Kabinet sejak tahun 2008 hingga 2018, sebagai Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk, 'jihad memerangi orang tengah'.

Ahli Parlimen Bera itu juga memperkenalkan inisiatif 'MARA Digital', supaya Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ismail Sabri, 60, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya, memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

BACA: Senarai barisan Kabinet Malaysia 2020

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 dengan menjawat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian.

Menjadi Ketua UMNO bahagian Temerloh pada 2004, karier politik beliau terus meningkat sehingga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 2018 selain dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Berikut merupakan biografi Ismail Sabri:

Nama: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Isteri: Datin Sri Muhaini Zainal Abidin

Tarikh lahir: 18/01/1960

Tempat lahir: Temerloh, Pahang

Nama anak:

1. Nina Sabrina

2. Gadaffi

3. Nashriq

4. Iqbal


Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM)


Politik:

2004 - sekarang : Ketua UMNO Bahagian Temerloh

2018 - sekarang : Naib Presiden UMNO


Karier:

1985: Peguam

1995: Pengarah, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia

1996: Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil

2008 - 2009: Menteri Belia dan Sukan

2009 - 2013: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

2013 - 2015: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

2015 - 2018: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah


-- BERNAMA