Istana Budaya, yang menjadi pentas utama persembahan seni dan teater muzikal di Jalan Tun Razak di sini, akan dinaik taraf dengan peruntukan RM62 juta mulai Januari depan.

Berikutan itu, Istana Budaya yang dibuka sejak 17 tahun lepas, akan ditutup selama sembilan bulan bagi pengubahsuaian Panggung Sari yang menjadi pentas utama persembahan teater.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerja menaik taraf Istana Budaya dilakukan sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus bagi menambah nilai bagi menjadikannya lebih berkualiti.

"Pengubahsuaian ini amat penting. Selepas siap nanti, diharapkan ia dapat meningkatkan penyertaan dan menarik perhatian produksi dari dalam dan luar negara untuk membuat pementasan mereka di sini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kalendar Program Istana Budaya 2016 di sini, Khamis.

Sementara itu, Mohamed Nazri menyasarkan sebanyak 70 peratus penglibatan produksi tempatan dan baki 30 peratus lagi daripada produksi antarabangsa sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani pula berkata lapan persembahan antarabangsa akan diadakan tahun ini termasuk That Pot of Tea in Chao San (19-20 Mac), Konsert Richard Clayderman (31 Mac-1 April), Shrek (2-5 Jun) dan High 5 (8-11 Disember).

Antara persembahan tempatan yang akan dipentaskan ialah Konsert Malam Nada Biru (5-6 Mac), Teater Randai-Cindua Mato (25-27 Mac), Teater Ombak Rindu (22 April-1 April), Konsert Jamal Abdillah (22-25 September) dan Teater Muzikal Mak Cun 2 (5-19 November).