Seorang wanita bersama anaknya berusia dua tahun maut manakala suaminya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah lori di KM 79, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan Nurul Aqilah Tukol, 25, bersama anaknya, Amanda Nur Keisha Akmal Lutfi, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara suaminya, Akmal Lufti Esa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Enche’Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Mohamad Laham berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Lutfi bersama isteri dan anak dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam.

“Kenderaan dipandu mangsa terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah lori yang dipandu Hussin Rakimin, 56, yang dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam.

“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan, pemandu kereta cedera parah manakala penumpang hadapan iaitu isteri dan penumpang belakang, anaknya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan di jalan selekoh dan basah akibat hujan.

Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.