Seorang warga emas wanita maut dipercayai selepas ditetak di bahagian leher dalam satu kes di Taman Lake View, Taiping pada malam Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 7.30 malam itu, mangsa, 68 tahun sedang berada di rumah ketika dua suspek dipercayai memasuki rumah dan menetak mangsa di bahagian belakang leher sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata mangsa juga merupakan isteri seorang individu kenamaan bergelar Datuk yang merupakan seorang pesara.

"Pada waktu kejadian, mangsa dan suami berada di rumah mereka dan dikunjungi oleh dua orang iaitu saudara wanita terdekat mereka berusia 78 tahun dan seorang lagi pekerja lelaki berusia 57 tahun.

"Sebaik sahaja mereka berada di dalam rumah, dua orang lelaki memakai topi keledar 'visor' penuh dan bersenjatakan parang berada di belakang saudara dan pekerjanya meluru masuk ke dalam rumah dan terus mengikat mangsa dan suaminya.

"Salah seorang suspek telah mengikat Datuk (suami mangsa) dengan menggunakan kain selendang, manakala seorang lagi suspek telah diugut dengan diacukan parang ke lehernya," katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada pagi Sabtu.

Jelasnya, mangsa kemudian dibawa ke dalam bilik tidur dan selepas beberapa ketika kedua-dua suspek melarikan diri.

Menurut beliau, pekerja kemudian bergegas memeriksa bilik tersebut sebelum menemui mangsa meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

Harrith berkata siasatan awal mendapati sebilah pisau ditemui di bahagian luar rumah dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa.

Bagaimanapun, pihaknya juga mendapati barang-barang kemas milik mangsa yang diletakkan di atas meja solek dan bertaburan di katil tidak diusik.

"Pihak kami masih menyiasat motif dan punca sebenar kejadian samada ianya konflik keluarga atau kes samun kerana hasil temubual suami mangsa memberitahu bahawa hubungan beliau dan saudara wanita yang datang itu amat buruk.

"Saudara wanita pula mendakwa bahawa dia datang ke rumah untuk meminta bantuan kewangan daripada suami mangsa yang merupakan seorang Datuk kerana mengabaikan beliau dan anaknya yang sedang sakit tenat," katanya lagi.

Katanya, kedua-dua saudara dan pekerja itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala pihaknya masih lagi memburu kedua-dua suspek kes tersebut.