Isteri kepada Pastor Raymond Koh, Susanna Liew hari ini mendakwa barisan ahli Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan, tidak adil, memandangkan tiada representasi dari Majlis Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam satu kenyataan hari ini, Liew berkata, jika badan berkenaan mempunyai wakil, sudah pasti pasukan berkenaan akan dilihat lebih adil dan telus dalam melaksanakan siasatan.


Katanya lagi, keluarga Pastor Koh kesal apabila melihat tiga daripada enam ahli pasukan berkenaan, merupakan pegawai polis kanan.

“Datuk Mokhtar Mohd Noor, yang telah dipanggil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memberi keterangan tempoh hari, turut dilantik sebagai salah seorang ahli pasukan berkenaan," tambah Liew.

BACA: PMO umum lantikan 8 anggota baharu Suhakam

“Jika seorang anggota polis yang telah menjadi saksi inkuiri Suhakam dibenarkan menjadi ahli pasukan berkenaan, sepatutnya peguam kedua-dua keluarga (Pastor Koh dan Amri) perlu dimasukkan dalam senarai ahli, bagi memastikan siasatan yang lebih telus,” katanya lagi.


BACA: Task force siasat penglibatan SB dalam kes kehilangan Raymond Koh, Amri

Liew berkata, perkara ini sama sekali tidak boleh diterima, dan mereka percaya di mana mana tempat yang mengamalkan demokrasi, perkara sebegini pasti tidak akan terjadi.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan ahli Pasukan Petugas Khas, di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.

Dalam sidang media itu, ketika ditanya jika adakah wajar polis dimasukkan dalam pasukan berkenaan, Muhyiddin berkata, tiada pegawai atau bekas pegawai polis yang dilantik bukan dari Cawangan Khas dimasukkan ke dalam pasukan petugas khas itu.


“Kita tidak mahu menganggap pasukan ini seperti polis mahu menyiasat polis, sebab itu kita lantik bekas hakim untuk mengetuainya.

"Malah untuk melantik anggota pasukan ini juga mengambil masa supaya ada ketelusan,” katanya lagi.